March 20, 2025

Duo Pereka Fesyen Lancar Lagu Raya – Siti Nurhaliza & Aliff Syukri Sumber Inspirasi 

Duo pereka fesyen dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok akui berdebar-debar menunggu reaksi masyarakat dan netizen terhadap lagu raya terbitan mereka yang berjudul Si Gadis Lebaran. 

Kali pertama melancarkan lagu raya, karya ciptaan bersama Tya Amida dan Farel Mikhail sendiri yang dinyanyikan oleh Aliff Azman ini merupakan satu percubaan berani FM Group.

Menurut Farel yang juga Pengarah FM Group, apa yang membuatkan dirinya berani mencuba sesuatu yang baharu adalah apabila melihat usahawan selebriti terkenal Datuk Seri Aliff Syukri kini jadi penyanyi.

“Tak dinafikan memang ada yang cakap, kalau dah jadi designer tu, tak payah sibuk nak cipta dan terbitkan lagu. Fokus sahaja dunia fesyen katanya.

“Biarlah apa orang nak cakap, kami ambil semangat Datuk Seri Aliff Syukri yang berani mencuba sesuatu yang baharu. Lihat beliau, orang nak kata apa sekalipun, dia tetap teruskan menyanyi.

“Beliau adalah inspirasi kami. Semangat serta keberanian yang beliau tonjolkan dalam media sosial sebenarnya memberi dorongan kepada kami mahu pun orang lain yang mungkin masih ragu-ragu membuat keputusan dan takut menanggung risiko.

Farel ditemui media dalam acara Beautiful Malaysia: Celebrating Malaysia Foods, Arts, Culture and Fashion yang berlangsung pada Khamis di Grandmama, Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur.

Si Gadis Lebaran mengisahkan tentang wanita yang cantik bergaya di hari raya. Kejelitaannya makin menyerlah apabila mengenakan baju tradisional Melayu.

“Ketika membuat lirik lagu ini, saya terbayangkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, penampilan beliau yang sinonim dengan imej wanita Melayu.

“Beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabat budaya Melayu. Kami kagum sangat, di sebalik nama besar yang dibina, beliau tak pernah lupa akar budaya kita,” katanya.

Dalam acara Beautiful Malaysia, Farel dan Jonathan yang membawa jenama FM Group turut memperagakan pakaian rekaan mereka.

“13 jenis rekaan busana wanita Melayu di Malaysia yang kami bawakan bukan sahaja sesuai dipakai ketika hari raya, malah pada hari lain juga. Boleh dikatakan juga 13 rekaan itu mewakili setiap negeri di Malaysia.

“Rekaan bermotifkan songket serta batik ini berinspirasikan wanita Melayu misalnya Puteri Perak untuk negeri Perak, Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Kebaya Sulam (Pulau Pinang), Kurung Riau (Johor) dan banyak lagi.

“Untuk 13 rekaan ini, saya turut bekerjasama dengan pereka fesyen dari Sarawak, Melakar, Pulau Pinang dan Kedah dalam memenuhi tema tradisional wanita Melayu,” katanya.

Farel juga berpendapat, acara Beautiful Malaysia ini adalah salah satu usaha untuk mencapai objektif memartabatkan seni kebudayaan yang terdapat di Malaysia.

Mengenai kerjasama dengan Grandmama, Farel berkata ia satu jalinan kolaborasi yang sangat bermakna kerana restoran makan berkenaan turut menyajikan makanan tradisi budaya Malaysia.

Sepanjang Ramadan, bermula 10 Mac ini lebih 100 menu tradisi masakan Chef dengan lebih tiga dekad pengalaman dihidangkan di Grandmama Pavilion Damansara. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts