September 13, 2024

Siti Nurhaliza Alami Covid-19 Kali Kedua Risau Peti Suara

KUALA LUMPUR : Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui ada gundah yang bersarang di hatinya selepas berdepan dengan jangkitan Covid-19 kali kedua minggu lalu. 

Penyanyi lagu Percayalah itu yang kini sudah selesai menjalani kuarantin mengakui risau sekiranya jangkitan itu mengganggu peti suaranya lagi.

Menurutnya, jangkitan kali kedua ini benar-benar mencabar dan menyakitkan berbanding jangkitan kali pertama yang dialaminya.

“Bohonglah kalau saya kata tak risau, sebab suara saya digunakan sebagai aset. Memang batuk berkahak adalah sesuatu yang sangat mengganggu. 

“Berbeza dengan jangkitan Covid-19 kali pertama di mana tak ada demam dan tak sakit badan, kali ini, saya alami sakit badan yang sangat sakit, demam, dan kemudian panas-panas. 

“Harap-harap, apa yang berlaku ini tak mengganggu peti suara saya,” katanya.

Mengulas keadaan suaranya terkini, penyanyi nombor satu negara itu berkata, dia bersyukur kerana dapat kembalikan suara yang lebih ‘ringan’ dan boleh kembali menyanyikan lagu lamanya.

“Syukur sangat sebab dah makin baik. Maknanya, bila saya nyanyikan lagu-lagu lama, bunyi suara saya ada rasa ‘ringan’ sedikit. 

“Kalau tak, rasa ‘berat’, kasar dan nafas tak cukup. Jadi, ini proses yang sangat lama dan hampir setahun juga untuk saya kembali dapatkan suara ‘ringan’ seperti ini. 

“Tiba-tiba, saya dijangkiti Covid-19 semula. Ini saya baru selesai kuarantin. Alhamdulillah, saya dah habis kuarantin dan harap-harap, tak ada apa-apa. Cuma tinggal batuk sahaja,” katanya.

Tabung Sedekah Subuh yang diperkenalkan sempena kempen Jihad Yayasan Nurjiwa/ Foto: Afil Jefri

Terdahulu, Siti pernah dijangkiti Covid-19 pada pada 2022 sehingga menyebabkan masalah pada peti suaranya.

Siti ditemui di Majlis Ukhuwah dan Apresiasi serta Pelancaran Kempen Jihad Yayasan Nurjiwa yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts