May 19, 2024

‘Dating’ Dengan Exist Di Sabah Dan Sarawak

KUALA LUMPUR: Band ikonik yang masyhur dengan rangakai lagu sing-a-long, bakal terbang ke Sabah dan Sarawak dalam edisi Konsert Exists Borneo Tour yang akan berlangsung pada 17 Disember 2023 (Sarawak) dan 30 Disember 2023 (Sabah).

Pemain keyboard, Ajai, berkongsi keterujaan untuk tampil di dua negeri itu selepas lebih 20 tahun tidak hadir mengadakan konsert berskala besar di sana.

“Lebih 20 tahun kami tak muncul mengadakan persembahan di Borneo. Jadi, kami akan persembahkan lagu-lagu yang boleh dinyanyikan bersama peminat.

“Ada juga lagu-lagu yang tak pernah dimainkan, tapi diminta oleh peminat. Jadi, kami akan persembahkan juga,” katanya.

Ditanya mengenai latihan, Ajai berkata, mereka sudah mula menjalani latihan sejak dua minggu lalu.

“Kami dah jalani latihan sejak dua minggu lalu. Satu perkara yang saya boleh katakan mengenai Exists adalah, disiplin yang mana membuatkan kami kekal sebagai band.

“Walaupun masing-masing sibuk dengan kerja dan komitmen masing-masing, tetap ada masa untuk bersatu menjalani latihan,” katanya.

Bagi gitaris Exists, Along, ketiadaan Mamat kali ini ada sebabnya.

“Peminat pun dah faham situasi di mana, akan ada konsert yang menampilkan Ezad, atau Mamat sahaja. Kami pun tak terikat apa-apa. Boleh jadi ada konsert yang menampilkan salah seorang dan ada yang berdua.

“Kami lihat juga kelapangan jadual mereka untuk tampil di sesuatu acara. Jadi, kami bagi kelonggaran dari aspek itu. Tapi, untuk Konsert Exists Borneo Tour, kalau penganjur ingin tampilkan Mamat bersama, jadi, kami akan tampilkannya,” katanya.

Sementara itu, Musa selaku pemain bass berharap, konsert ini akan mendapat sambutan dan sokongan daripada peminat.

“Kami suka kalau tiket konsert dijual dengan harga murah sebab baguslah untuk penonton. Pada masa sama, kami kena fikirkan juga dari sudut penganjur kerana mereka perlukan keuntungan juga.

“Kalau penganjur tak dapat keuntungan, mungkin dia pun dah tak mahu menganjurkan acara konsert seperti ini lagi di masa akan datang. Jadi, diharap, peminat dapat memberi sokongan agar benda ini dapat berjalan dengan berterusan,” katanya.

Exists akan mengadakan Konsert Exists Borneo Tour Sarawak pada 17 Disember 2023 (Borneo Convention Center, Sarawak) dan 30 Disember 2023 (Sabah International Convention Center). – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts