October 11, 2024

Kasih Sayang Adik Beradik Di Sebalik Kisah Seram Khong-Khaek: The Djinn’s Curse

PETALING JAYA: Filem seram Khong-Khaek: The Djinn’s Curse pastinya menggamit peminat filem seram lebih-lebih lagi ia naskhah dari negara Thailand yang cemerlang dalam genre seperti ini.

Lebih menarik filem ini dikatakan mencipta sejarah perfileman Thailand sebagai filem seram pertama yang mengetengahkan elemen kerohanian Islam.

Yusrych Global Sdn Bhd akan membawakan produksi ini, dengan kerjasama M Thirty Nine Co. Ltd. dan Monwichit Entertainment, ke 160 buah pawagam di seluruh negara bermula dari 2 November lalu.

Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd Yusry Makmor menyatakan keyakinannya terhadap kejayaan filem itu di negara ini memandangkan trailernya tular selain kutipan mencecah RM6 juta selepas 11 hari tayangan di Thailand.

Seperti mana-mana filem seram, produksi penerbitan filem Khong-Khaek : The Djinn’s Curse turut melalui beberapa kejadian pelik dan menyeramkan disepanjang penghasilan filem tersebut.

Golf-Akara Lucas, pelakon utama filem itu, pernah memberitahu dia ada merasakan kehadiran ‘sesuatu’ di sebelahnya semasa berbaring, namun mendapati tiada sesiapa apabila dia menoleh untuk melihat.

Selain itu, Lee Ping, seorang lagi pelakon, dan beberapa krew mendakwa telah menyaksikan penampakan aneh, yang membawa kepada detik-detik cemas semasa penggambaran berjalan sehingga terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Win, yang berpindah bersama keluarganya ke kawasan terpencil di Narathiwat, Selatan Thailand, selepas merasakan bahawa mereka sedang dihantui oleh entiti ghaib.

Mampukah Win melindungi keluarga tercinta daripada cengkaman entiti ghaib ini? Apakah rahsia yang akan didedahkan semasa mereka membongkar misteri di sebalik pertemuan yang menghantui ini?

Di sebalik kisah seram yang menjadi tunjang utama filem ini, mesej pertalian dan kasih sayang adik beradik juga diselitkan dengan kemas serta menarik.

Abang kepada watak Nasreen misalnya, sanggup melakukan apa saja demi wanita itu. Namun dalam masa sama tetap mahu memastikan adiknya berada di landasan sebenar.

Sejauh mana anda wajar menonton filem ini? Sejujurnya ia dekat dengan orang kita termasuk beberapa elemen yang dipaparkan seperti dialek dan loghat seperti Kelantan serta laungan Azan membuatkan kisahnya tidak asing dalam kalangan masyarakat Malaysia. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts