June 13, 2024

Chef Wan Minta Maaf – Komen Hanya Gurauan Disalah Anggap

Chef Selebriti, Datuk Redzuawan, 66, atau mesra disapa Chef Wan tidak menyangka komen gurauannya mengenai gaun pakaian dipakai bintang Bollywood, Aishwarya Rai disalah anggap oleh segelintir pihak.

Chef Wan berkata dia tidak berniat mempermainkan agama Hindu dan memohon maaf atas tindakannya itu.

“Bukan niat saya untuk bersikap perkauman atau burukkan mana-mana agama. Sebagai seorang chef televisyen, saya sentiasa menghormati semua budaya dan agama di seluruh dunia.

“Saya mohon maaf kepada semua kerana memuat naik kenyataan demikian,” kata Chef Wan menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagramnya.

Chef Wan turut memohon maaf kepada Aishwarya berikutan tindakannya itu dan mengakui begitu teruja melihat penampilan antara pelakon wanita yang diminatinya itu.

Tambah Chef Wan, dia hanya berkongsi pendapat dan berseloroh kerana kapsyen yang dibuat bertanyakan mengenai pandangan warga maya terhadap gaun yang dipakai Aishwarya.


“Fikiran saya serta merta memikirkan material yang digunakan pereka sering dilihat di perayaan Thaipusam kavadi yang diraikan di Batu Caves.

“Sebab ramai juga pengikut saya komen di situ nampak macam bulu burung merak. Saya menganggap burung merak itu cantik. Saya tak berniat langsung untuk menghina agama lain.

“Saya hanya berjenaka dan bercakap jujur namun komen saya disalah tafsir sampai polis pun terpaksa siasat kerana ada yang buat laporan!” kata Chef Wan yang mengakui menerima pelbagai impak daripada komen itu.

Terdahulu, polis mengesahkan Chef Wan sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung satu hantaran di media sosial yang bersifat perkauman membabitkan Aishwarya.

Chef Wan sebelum ini secara berseloroh menyatakan gaun yang dipakai bintang Bollywood, Aishwarya Rai seperti membawa kavadi di upacara Thaipusam di Batu Caves. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts