March 20, 2025

GV8 : Minggu Air Mata

PUTRAJAYA : Konsert minggu kedua Gegar Vaganza Musim kelapan (GV8) dihiasi dengan linangan air mata peserta yang bertanding serta mengundang sebak di hati penonton. 

Persembahan tiga bintang iaitu Nikki Palikat, Fazley Yaakob dan Ani Mayuni mengundang sebak kepada mereka yang menonton kerana masing-masing mengenang insan yang telah pergi.

Foto GV8 : Azrul Rafie/ASTRO

Nikki yang membawakan lagu Drama nyanyian asal bersama Ning Baizura dan arwah Yanie mengusik hati ramai kerana berkongsi penyesalannya yang tidak ada di saat Yanie meninggal dunia.

“Kami pernah duduk serumah, selepas Yanie kahwin dan balik ke Sabah saya terputus hubungan. Saya terkejut bila dapat tahu Yanie sudah tiada. 

“Yanie, saya minta maaf kerana tidak dapat peluk kau di saat akhir,” kata Nikki yang juga dilihat mengesat air mata sebelum memulakan persembahan.

Ani Mayuni juga tidak dapat menahan tangisnya ketika ditemui kerana terkenangkan arwah bapanya.

“Saya terkenangkan arwah bapa dan saya harap dia tenang di sana. Apa yang saya lakukan arwah sentiasa beri semangat,” katanya.

Fazley turut menampilkan persembahan menjentik emosi penonton menerusi Lagu Untukmu dan mengimbau memori bersama arwah bapanya.

Persembahannya di pentas dengan potret lukisan beberapa arwah termasuk Siti Sarah dan Mamat Khalid membuat suasa menjadi hiba.

Nabil Ahmad selaku pengacara juga dilihat sebak dengan persembahan berkenaan.

Sementara itu, konsert lepas masih tiada penyingkiran dengan kedudukan Aliff Aziz kekal di tempat pertama dan Nico di kedudukan terakhir.

 

Ketua juri Datuk Ramli MS membayangkan minggu ketiga bakal menyaksikan penyingkiran pertama dilakukan.

Perosalannya jumlah peserta yang akan mengakhiri perjuangan dalam GV8, sama ada satu ataupun lebih?

Tugasan lagu minggu ketiga semakin mencabar dengan tumpuan pastinya pada lagu tugasan seperti Kasihnya Laila (Aliff), All I Ask (Adibah Noor), Semalam (Nikki) dan Badarsila (Suki).

Alif di kedudukan teratas dua minggu berturut-turut.

Jangan lupa juga dua arjuna yang bakal bergelek iaitu menerusi lagu Ini Rindu (Shidee) dan Yang Sedang Sedang Saja (Fazley). – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts