PETALING JAYA: Pengacara dan pelawak Datuk AC Mizal melabelkan individu yang sengaja mencetuskan lawak menyentuh sensitiviti masyarakat sebagai pelawak jahil.
Beliau mengulas tindakan seorang pelawak wanita yang tanpa rasa bersalah mempersendakan tragedi MH370 sebagai bahan lawak yang tular baru-baru ini.
“Bagi saya dia pelawak jahil yang telah menyundalkan industri lawak.
“Dia tidak layak bergelar pelawak kerana pelawak seorang yang menghiburkan orang ramai tanpa meyentuh sensitiviti,” katanya.
AC pada masa sama juga berharap tindakan tegas boleh diambil ke atas individu terbabit.
“Pada saya sekat saja kehadiran dia dan segala bentuk hal mengenai individu itu termasuk secara online iaitu semua yang membabitkan kandungan daripada dia serta pintu masuk ke negara ini.
“Kita tidak perlukan manusia sebegini kerana dia juga sudah tidak ada kena mengena dengan negara jiran,” katanya.
Sementara itu, AC ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Muzika Lawak Nusantara baru-baru ini berkata, beliau teruja sebagai pengacara konsert itu nanti.
Baginya, konsert itu bakal menjadi penanda aras untuk genre hiburan seperti itu kerana ia kali pertama dianjurkan.
“Saya yakin masing-masing akan berikan yang terbaik dan sama-sama kita sokong mereka semua,” katanya.
Konsert Muzika Lawak Nusantara bakal diadakan pada 19 Ogos ini di Stadium Melawati Shah Alam membabitkan pelawak Malaysia dan Indonesia.
Antaranya, kumpulan Zero yang menggabungkan trio adik beradik, Sharif, Atu dan Melati, Bocey yang menggabungkan Achey dan Fad serta Rina Nose, Sule dan Aziz Gagap. – GayahIsTyping