KUALA LUMPUR: Pencarian bakat komedi, Awesome Raja Lawak tiba di lokasi terakhir, Plaza Alam Sentral, Shah Alam bermula hari ini dan Ahad.
Kaunter pendaftaran dibuka seawal 8.00 pagi dan Awesome TV mengalu-alukan kedatangan warga Lembah Kelang untuk tampil mempersembahkan bakat jenaka masing-masing.
Menggalas tugas juri uji bakat untuk sesi Sabtu, 25 Jun 2022 adalah pelawak terkenal, Ali Puteh dan Atu Zero, manakala pelawak otai, pelakon dan penyanyi, Azlee Senario bakal bergandingan bersama Ajak Shiro untuk menduduki kerusi juri pada sesi hari Ahad, 26 Jun 2022.
Sama seperti di Kuantan, Pulau Pinang dan Johor Bahru, barisan juri uji bakat akan menilai calon peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti tahap kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti.
Kemampuan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal juga antara perkara yang akan dilihat.
Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan Singapura yang berumur 18 tahun ke atas dan mestilah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi.
Calon peserta bebas memilih untuk menyertai pertandingan ini secara solo, duo atau trio. Setiap yang hadir juga perlu membuat persembahan pentas secara spontan untuk menarik perhatian juri dalam tempoh maksima tiga minit.
Mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan atau pasport untuk warga Singapura serta gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) atau ukuran pasport.
Awesome Raja Lawak bakal bersiaran di secara eksklusif di Awesome TV menerusi platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula Ogos kelak. – GayahIsTyping