January 23, 2025

Elizabeth Jadi Pontianak, Trauma Memandu

KUALA LUMPUR : Impian Elizabeth Tan untuk membawakan watak dengan sisi berbeza menjadi kenyataan apabila dia muncul sebagai pontianak dalam drama bersiri terbaharu di Astro Ria.

Mesra disapa Lizzy, dia membawakan watak Bella seorang pontianak yang menjadikan bekas kekasih sebagai mangsa apabila mereka curang kepadanya.

Lebih menarik Lizzy tidak keseorangan, dia ditemani dua lagi pontianak cantik Alicia Amin dan bakat baharu Maya Hanum.

Foto: ASTRO / Azrul Rafie

“Saya sangat gembira dengan tawaran ini dan saya terima dengan hati terbuka. Bagi saya siapa yang tolak tawaran ini memang bodoh,” katanya.

Siri komedi seram itu bakal ditayangkan bermula 19 Januari ini jam 9.30 malam di Astro Ria turut menampilkan Raysha Rizrose dan Ikmal Amry.

Dalam perkembangan lain Lizzy yang popular dengan lagu Polis Entry itu mengakui masih belum berani memandu kereta meskipun sudah memiliki lesen sejak berumur 18 tahun.

Dia mengakui trauma kerana pernah mengalami kemalangan sebelum ini lantas membuat keputusan untuk tidak memandu.

“Saya belum ada keyakinan. Saya memang sudah ada lesen, cuma tidak berani memandu.

“Bukan tidak pernah cuba, tapi masih belum bersedia untuk memandu kembali,” katanya.

Dia bagaimanapun menyimpan tekad untuk kembali memandu apabila dikurniakan anak.

“Bila saya ada anak nanti saya pasti akan memandu demi memastikan saya dapat galas tanggungjawab sebagai ibu.

“Penting untuk saya memandu apabila ada anak nanti untuk rutin harian sebagai ibu,” katanya.

Lizzy bersama suami

Sementara itu, Elizabeth, 28, yang sudah berkahwin dengan Siew Jim pada Mac tahun lalu bakal mengadakan majlis resepsi pada bulan depan.

“Ya memang hampir setahun sudah kami berkahwin dan seperti semua tahu kita berdepan dengan pandemik Covid-19 jadi kami tangguhkan.

“Saya memang tetap mahu adakan majlis sebab bagi saya kahwin sekali seumur hidup,” katanya.

Meskipun hanya majlis resepsi kecil-kecilan, dia tetap terus kerana mahu meraikannya dengan keluarga serta rakan terdekat. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts