November 26, 2022

GV8 : Astro Jamin Tidak Timbul Isu Lagu

KUALA LUMPUR : Astro memberi jaminan tidak akan timbul isu berkaitan lagu tugasan yang diberikan kepada peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, setiap peserta diminta memberikan senarai lagu masing-masing dan tugasan diberikan berdasarkan senarai berkenaan.

“Seperti selalu peserta diminta memberikan senarai wish list lagu mereka dan produksi akan beri berdasarkan senarai itu.

“Perbincangan akan dibuat memandangkan akan timbul isu lagu pilihan yang sama antara peserta,” katanya kepada Gayah.

Raqim berkata, tidak timbul isu peserta mendapat lagu yang bukan pilihan mereka kerana produksi akan meminta senarai lagu daripada mereka.

“Di pihak produksi, kita akan nasihatkan pada kesesuaian lagu yang dipilih mengikut tema yang ditetapkan setiap minggu,” katanya.

Sementara itu juri tetap Datuk Ramli MS berkata, kemampuan peserta akan dilihat secara jelas bermula tugasan minggu kedua apabila mereka mendapat lagu bukan makanan mereka.

“Saya akan tengok kemampuan mereka dan penilaian dibuat ketika mereka di atas pentas setiap minggu.

“Seperti biasa kemampuan sebenar ialah pada minggu kedua apabila mereka bukan menyanyikan lagu sendiri,” katanya.

Selain Ramli, Hetty Koes Endang juga masih kekal sebagai juri tetap serta kemunculan seorang lagi pada musim kali ini iaitu Datuk Syafinaz Selamat.

“Saya di sini untuk berkongsi pendapat dan memberitahu apa yang terbaik buat peserta. Terpulang pada mereka untuk terima atau sebaliknya,” kata Syafinaz.

Raqim menambah musim kali ini menampilkan tiga juri tetap dan hanya pada minggu tertentu akan ada juri jemputan.

GV8 membariskan 13 bintang solo dan kumpulan iaitu Adibah Noor, Nikki Palikat, Suki, Shidee, Azan Scan, Ani Mayuni, Datuk Fazley, Aweera, Bandi Amuk, Senario, Nico, Alif Aziz, Upiak Isil masing-masing mewakili Singapura dan Indonesia.

Malam ini bakal menyaksikan konsert minggu pertama GV8 secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Astro Ria yang dibawakan oleh penaja utama Farm Fresh. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts