November 26, 2022

Dua Sumpah ke AJL34?

SHAH ALAM: Malam ini bakal terjawab 12 senarai pasti lagu yang akan berentap pada Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) pada Februari depan.

Sherry Alhadad dan Haziq. Dua pengacara terbaik SFMM34. Moga mereka kekal untuk AJL34.

Melihat kepada senarai lagu sejak Semi Final Muzik Muzik 34 (SFMM34) dua minggu lalu, bagai memberi satu kejutan mengenai situasi produksi lagu dan muzik tempatan.

Lagu pada minggu pertama SFMM34 misalnya, melodi dan bunyi kedengaran sangat terhad malah tidak banyak beza antara 11 lagu yang bersaing.

Membuatkan lagu Drama daripada Drama Band dilihat paling mudah dipilih lagu terbaik dengan elemen kelainan dalam penghasilan lagu berkenaan.

Minggu lalu, warna dan bunyi lagu semakin pelbagai. Apatah lagi dengan beberapa senarai karya yang boleh dianggap kuat seperti Anta Permana, Pujaan Hati, Kisah Cinta Kita dan Sumpah.

Sumpah ciptaan sepenuhnya Naim Daniel diangkat sebagai lagu terbaik. Pilihan juri yang selari dengan pendapat majoriti peminat.

Minggu ini, lapan lagu lagi akan berjuang untuk mengisi tempat pada gelanggang akhir AJL34 nanti.

Gayah secara peribadi berharap beberapa lagu seperti Sumpah daripada Aina Abdul dan Bangun (Amanra) mampu berada dalam senarai yang diumumkan pada penghujung rancangan langsung SFMM34 malam ini.

Secara jujurnya, penyertaan beberapa komposer yang sama dengan lebih daripada sebuah lagu turut memberi kesan.

Lebih-lebih lagi sukar untuk dinafikan ada lagu yang terikat dengan mood dan melodi yang tidak jauh beza. Bukan, ini bukan soal signatur, ini soal persamaan.

Namun, bila difikirkan balik memang nama mereka ini yang sedang aktif berkarya. Jadi memang lagu mereka jugalah yang selalu berkumandang dan menjadi pilihan penyanyi.

Keseluruhannya, moga muzik Malaysia akan terus maju dan berkembang dengan kepelbagaian karya dari mereka yang terlibat dengan industri ini.

Begitu juga dengan kegemilangan AJL itu sendiri yang sudah berlangsung lebih tiga dekad dan menjadi antara anugerah berprestij industri hiburan tanah air.

Jom tengok 12 lagu pilihan Gayah untuk AJL34 seperti senarai di bawah.

1. Sumpah – Naim Daniel
2. Sumpah – Aina Abdul
3. Anta Permana
4. Kisah Cinta Kita
5. Pujaan Hati
6. Bangun
7. Jutaan Purnama
8. Ku Bersuara
9. Rampas
10. Tiada Dirimu
11. Drama
12. Mencuba atau Bidadari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts