June 13, 2024

Rizman Ruzaini Seronok Persaingan Pasaran Tudung Tempatan

KUALA LUMPUR : Jenama fesyen ternama Rizman Ruzaini menyambut baik dan seronok dengan persaingan pasaran tudung tempatan.

Ruzaini berkata, industri fesyen dan jenama tudung di Malaysia meriah serta menawarkan pelbagai variasi kepada pengguna.

Tambahnya, tudung jenama mereka misalnya iaitu, RR Mono Scarves mendapat sambutan sangat baik dan sudah dua tahun berada dipasaran serta mempunyai pengikut tersendiri.

“Untuk persaingan, kalau di Malaysia ini adalah sihat sebab tiada berlawan antara satu sama lain. Saya fikir, jenama kami ada pengikut yang sangat kuat dan apa yang kami hasilkan ini adalah khas untuk mereka.

“Memang kami mengharapkan sokongan berterusan daripada pembeli. Kalau diikutkan skaf ini hanya dipasarkan secara dalam talian dan tidak lama lagi akan dijual di butik kami seluruh Malaysia.

“Hujung tahun ini kami akan buka sekali gus di lima tempat. Jadi, pembeli boleh lihat dan rasai secara dekat kualitinya,” katanya.

Sementara itu, pasangan pereka Rizman Ruzaini itu memilih untuk merayakan sambutan ulang tahun kedua jenama tudung mereka iaitu RR Mono Scarves yang dibuat secara berperingkat.

Rizman berkata, antara yang menarik perhatian adalah pembukaan ‘pop-up store’ jenama RR yang terletak di KL East Mall, Kuala Lumpur.

“Bulan ini adalah ulang tahun kedua untuk RR Mono Scarves daripada Rizman Ruzaini. Kali ini kami akan buat lain sedikit iaitu secara berperingkat.

“Peringkat pertama, kami buat ‘pop-up’ di KL East Mall yang mana kami akan melancarkan tudung terbaharu iaitu RR Geometrik dan menjalankan beberapa aktiviti termasuk diskaun khas untuk semua skaf dan baju yang boleh dipadankan dengan skaf.

“Acara kemuncak pula adalah sambutan ulang tahun skaf Rizman Ruzaini pada 29 Julai ini. Kami menjemput mereka yang sudah memiliki RR Mono Scarves dan istimewa untuk 200 yang pertama akan dapat tudung edisi khas Rizman Ruzaini secara percuma. Mereka hanya perlu pakai RR Mono Scarves ke acara tersebut” katanya.

Menurut Ruzaini pula, pihaknya berasa sangat gembira kerana jenama RR ini mendapat sokongan daripada peminat skaf.

“Sambutan baik diberikan kepada jenama kami membuatkan kami jadi lebih seronok. Kami di Rizman Ruzaini memang sangat mementingkan kualiti.

“Selain itu, kami sangat aktif mengeluarkan skaf dan boleh dikatakan, setiap bulan ada keluaran baharu. Apa yang kami lakukan ini supaya pelanggan dapat mengumpul pelbagai jenis skaf keluaran kami,” katanya.

Ziana Zain dan Ernie Zakri

Acara sambutan ulang tahun kedua RR Mono Scarves di KL East Mall turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Ziana Zain dan Ernie Zakri. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts