March 20, 2025

Terpaling Raya Jadi Tum Tum Raya – Shiha Zikir Dan Ieda Berkurung 22 Jam Demi Muzik Video

Duo adik beradik Shiha dan Ieda Zikir ternyata komited dan memberikan sepenuh komitmen memastikan lagu raya mereka Tum Tum Raya mencuri perhatian sekaligus memeriahkan sambutan Syawal kali ini.

Bukan saja menjadi muzik video lagu ini yang mencecah ratusan ribu ringgit, malah Shiha dan kakaknya Ieda Berkurung hampir 24 jam di studio bagi menjalani penggambaran klip berkenaan.

“Saya mahukan kelainan dan memberi sesuatu yang berbeza untuk sambutan Syawal kali ini.

“Alhamdulillah dengan penaja iaitu Giant yang sudi menyokong saya dan pasukan dapat merealisasikan apa yang saya mahu.

“Video klip lagu ini paling mahal dalam semua yang pernah saya hasilkan sepanjang kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

Kongsi Shiha, banyak proses termasuk melibatkan cat serta menukar lima baju berbeza membabitkan mereka dan penari ketika penggambaran muzik video itu.

Lebih dari itu, Shiha memberitahu tajuk asal lagu berkenaan ialah Terpaling Raya namun ditukar kepada Tum Tum Raya selepas dia dan komposer mengadakan perbincangan.

Sementara itu, mengulas kononnya lagu berkenaan kurang nilai kesopanan mereka berdua menerima baik segala kritikan mengenai konsep video muzik (MV) lagu itu yang baru-baru ini dikritik sebagai kurang nilai sopan santun.

“Komen positif saya ambil sebagai dorongan, manakala komen negatif pun saya terima untuk memperbaiki dan menambah baik pada masa akan datang.

“Lagu-lagu Aidilfitri saya sebelum ini lebih bersifat biasa dan mengikut kebiasaan. Namun, tahun ini saya ingin menyelitkan elemen komedi,” katanya.

Menurut Shiha, tarian dan gerakan yang dilakukan di dalam video muzik lagu ciptaannya bersama Ajay Amai dan Napie Hassan tidaklah keterlaluan.

“Pada saya, ia tidak berlebihan sehingga menjatuhkan apa-apa, cuma tarian kali ini lebih aktif.

“Jika dilihat dari segi tenaga dan gaya persembahan, memang ada perbezaan antara saya dan kakak. Namun, tiada niat lain selain menghiburkan,” katanya.

Bagi Ieda yang juga kakak kandung Shiha, dia meyakinkan Shiha bahawa konsep yang mereka gunakan dalam video muzik itu tidaklah melampaui batas.

“Mengenai pergerakan tarian, Shiha ada bertanya kepada saya sama ada ia keterlaluan atau tidak kerana dia juga risau.

“Sebagai kakaknya, saya meyakinkan bahawa tidak mengapa kerana tiada apa-apa yang melampaui batas sehingga mencalarkan budaya.

“Apa yang kami inginkan hanyalah menyebarkan kegembiraan,” katanya.

Video muzik Tum Tum Raya mengetengahkan konsep tarian Melayu yang digabungkan dengan tarian moden, menggunakan suntingan fast cut. – GayahIsTyping

Layan Tum Tum Raya di https://youtu.be/Kw6xjkFlvdU?si=kIxavMMxxUFMd_Mr

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts