Segala penat dan lelah sepanjang perjuangannya bergelar pelajar dan artis pada masa sama hilang sebaik kejayaan menggenggam segulung ijazah.
Diakui antara bakat pelapis industri seni yang berkualiti, Wani Kayrie kini sah bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan serta lebih bermakna apabila turut memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) cemerlang.
Dia menerima ijazah itu pada Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) baru-baru ini dan mendedikasikannya buat ibu tersayang Rukiah yang menjadi sistem sokongan dari awal pengajian.
“Dulu saya datang dari keluarga yang tidak senang dan tak berkemampuan untuk sambung pengajian ke peringkat tinggi, hanya setakat peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerana memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga.
“Sebab itu, saya pasang niat untuk belajar lebih tinggi kerana mahu melihat mama pakai jubah ijazah ini. Sebak tetapi seronok dapat tengok orang kita sayang turut gembira dengan kejayaan kita.
“Kalau tidak kerana dorongan mama, saya tak dapat merasa mengenggam skrol ijazah ini,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Selepas menerima ijazah, pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah, 24, mengakui lebih menyedari akan kepentingan pelajaran dalam kehidupan.
“Sekarang baru saya faham kenapa pentingnya untuk kita menuntut ilmu.
“Mungkin bagi sesetengah orang, benda ini hanya setakat belajar tetapi sebenarnya perkara ini mengajar kita melihat dunia dengan lebih luas dan pelbagai perspektif berbeza untuk digunakan pada masa akan datang,” katanya. – GayahIsTyping
You may also like
-
Pak Lah Meninggal Dunia – PM Ke-5 Hembus Nafas Terakhir di IJN
-
Single Inggeris Pertama Insomniacks ‘Awake & Dreaming’ – Manifestasi Evolusi Muzik & Kematangan
-
GenKRU Perluas Misi – Selepas Tiga Hari Di Malaysia, Sambung Ke Singapura, Mungkin Konsert Finale
-
Awie Ucap Selamat Pengantin Baru Buat Erra Fazira – Titip Pesan Jangan Tunggu Lama
-
Turunkan Rakaman Kandungan Konsert – Rumah Produksi Merah Ambil Serius Isu Curi Rakam Dan Jual