December 8, 2024

Terima Kasih Mat Kilau

Oleh Syarrizuan Abdul Rashid

Jujurnya ada rasa bangga yang menguntum saat melangkah keluar dari perut panggung semalam usai tayangan perdana filem epik Mat Kilau.

Ternyata penantian sesak manusia memenuhi panggung GSC Starling Mall pada Khamis malam berbaloi, lebih-lebih lagi mereka yang sporting dengan busana Melayu.

Filem ini berjalan dengan pantas dan membuatkan penonton kekal di kerusi dengan momentum penceritaan serta aksi yang disusun hampir kemas.

Babak awal menampilkan Ellie Suriaty menjadi menerusi kredibiliti lakonannya yang hebat dan meninggalkan kesan. Satu perlambangan jelas dalam hala tuju penceritaan filem ini.

Filem yang 70 peratus berdasarkan sejarah dengan 30 peratus suntikan fiksyen ini diadun dengan baik apatah lagi kebijaksanaan memilih barisan pelakon.

Beto Kusyairi selaku Wahid antara nyawa kuat dalam persembahan filem yang mengambil masa selama empat tahun pembikinan sebelum ditayangkan ini. (Termasuk faktor pandemik Covid-19)

Sebenarnya, sebaik menonton trailer pembukaan fikiran penulis sudah menangkap isyarat Beto pasti cemerlang kerana ada momen yang sudah buat mata bergenang.

 

Ya, itulah Beto dalam semua naskhahnya. Komitmen tertinggi tanpa kompromi mengheret penonton sama ke alam filem itu dengan semula jadi.

Wahid watak rekaan rakan kepada Mat Kilau, sangat berkesan dipersembahkan. Lakonan, ucap kata dan ekspresi Beto dalam roh Wahid bersatu dengan kemas.

Bukan keterlaluan, tetapi ia hakikat malah penulis percaya ramai yang pasti setuju akan kagumnya rasa pada manusia pejuang bernama Wahid.

Beto menterjemahkan segalanya dengan sebaik mungkin. Seorang pahlawan, sahabat, suami, bapa dan orang Melayu yang tinggi prinsip.

Kemampuan Beto bermain dialog dengan pertukaran nada tegas kepada kasih sayang menangkap sukma penonton kala babak bersama Kiah, isterinya lakonan Zarina Zainoordin.

Kala ditanya media, Beto seperti selalu merendah diri dan berkata dia sentiasa berusaha berikan yang terbaik.

“Saya lakukan seperti apa yang pengarah mahu. Alhamdulillah semuanya dengan izin-Nya,” katanya.

Fattah Amin juga layak dipuji dengan penampilan sebagai Awang. Graf lakonan arjuna hati Nur Fazura ini meningkat dengan baik dalam filem ini.

Dia membuktikan, layak bergelar antara aktor tahap hero dalam persada lakonan tempatan.

 

Datuk Adi Putra seperti selalu memberikan lakonan menarik serta berjaya muncul sebagai simetri kepada Mat Kilau.

Adi penuhi kriteria dan menghidupkan pahlawan Mat Kilau dalam filem ini dengan kemas dan berjaya.

Satu faktor penting ramuan utama kejayaan filem ini ialah barisan pelakon yang hebat dari sekecil watak sehingga ke peranan utama.

Nama-nama hebat antaranya seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Shaharudin Thamby, A. Galak, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Namron, Farah Ahmad dan Yayan Ruhian menjadi paku penngukuh filem ini.

Filem yang menggunakan binaan tiga set utama iaitu jeti, pasar dan gudang ini turut membabitkan lebih 300 pelakon tambahan.

Antara yang boleh diperbaiki ialah prop yang digunakan serta pakaian.

Banyak prop yang jelas kelihatan terlalu baru lebih-lebih lagi apabila banyak zoom shot digunakan dalam filem ini.

Mana mungkin prop seperti tembikar, cerek, dulang dan peralatan niaga yang digunakan penduduk masih baru terutama ketika babak di pasar.

Jelas nampak bersih, cantik dan warna tidak pudar seperti baru beli di Nilai 3. Begitu juga baju yang dikenakan. Jelas jahitan moden mesin pada hari ini dapat dilihat.

Tudung yang dipakai oleh Kiah juga terlalu mendahului zaman. Rasanya belum wujud tudung sarung dan inner yang sebegitu ketika era Mat Kilau.

Hal-hal seperti ini tidak sepatutnya terlepas pandang apabila sudah mempunyai naskhah yang baik seperti Mat Kilau.

Akhirnya, melangkahlah dan tonton filem ini. Sebalik aksi hebat, percayalah bangsa kita memang terbilang.

Cumanya, lekas sedar, bangkit dan bersatulah serta berpegang teguh pada Allah. Kita bukan bangsa yang untuk dipijak-pijak.

Terima kasih Mat Kilau kerana melahirkan pahlwan sehebat Wahid. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts