February 9, 2025

Hamizah Usahawan Stylo


Figura ini mempunyai aura yang sangat menyenangkan. Raut wajah cantik dan tutur kata mesra meski saat baru berjumpa.

Jika dilihat pada maklumat yang diberikan sebelum menemubual empunya diri, Hamizah bukan sembarangan. Benar kata orang, budi bahasa seseorang itu, lebih indah dari solekan dan dandanan.

Memulakan bicara, pemilik nama sebenar Daeng Hamizah Abd Aziz, 33, ini sentiasa mengukir senyuman dan teruja berkongsi impiannya.

Kalau diikutkan, beliau sudah menyandang jawatan yang selesa, namun bagi wanita ini beliau mahu menebus impian yang disimpan kemas iaitu menjadi ahli pernigaan berjaya.

“Saya memang mahu membina empayar perniagaan sendiri dan impikan perniagaan yang dekat dengan diri saya.

“Jadi inilah langkah saya mulakan iaitu tudung dengan sentuhan dan cita rasa yang premium,” katanya kepada Gayah.

Hamizah memiliki dan menjual tudung jenis bawal yang termahal di daerah Batu Pahat dan Johor Bahru, Johor.

Penggemar tudung pasti sedia maklum harga bagi koleksi ini yang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Wanita suka benda cantik dan menarik, sama juga seperti aksesori. Jadi, memang ada yang sanggup berbelanja untuk tudung yang mahal.

Antara koleksi yang mencecah harga hampir RM10,000.

“Membazir? Sebab bila minat sesuatu benda tu dan selesa dipakai, apa salahnya jika berkemampuan dan betul-betul minat kenapa tak pakai yang mahal ikut kehendak dan citarasa masing-masing,” katanya.

Dua buah butik Dhamizah by Bawal Exclusive di Johor itu menjual tudung serendah RM65 hingga RM9,600 sehelai.

Ketika Gayah berada di butik berkenaan, lebih 10 tudung terjual termasuk satunya berharga RM4,000 lebih. Gayah angguk dan senyum tanda faham. Ini yang dikatakan minat.

Berkongsi lanjut, pemilik Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari The Robert Gordon University, Aberdeen, Scotland itu berkata beliau dalam perancangan untuk meluaskan perniagaannya.

Hamizah berkata, selain tudung beberapa koleksi aliran berkaitan fesyen bakal dihasilkan olehnya dalam usaha menambah nilai perniagaan yang dimiliki.

Mahu miliki jenama sendiri.

“Saya mendapat respon yang baik dan mahukan saya membawa lebih banyak barangan berkaitan fesyen.

“Jujurnya saya memang dalam perancangan ke arah itu dan bakal melancarkan jenama saya sendiri bila tiba masanya,” katanya.

Bagi Hamizah semua itu memerlukan perancangan rapi dan dirinya sentiasa positif dalan menggalas cabaran baharu.

Bersama petugas di cawangan Batu Pahat, Johor.

Mengakui dirinya beruntung kerana mendapat sokongan padu daripada keluarga, rakan-rakan dan pekerja yang sentiasa bersama.

Baginya juga, dalam perniagaan perlu berani dan ambil risiko yang bijak serta adat jika ada orang yang tidak puas hati dengan apa yang dilakukan.

“Bagi saya kita niat untuk rezeki dan berserah kepada Allah. Insya-Allah kita akan dilindungi,” katanya.

Bersama pekerja yang menjadi tulang belakang Hamizah.

Hamizah mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan hijab sejak enam tahun lalu meskipun mempunyai kerjaya tetap di sebagai pemaju hartanah di Johor.

Hamizah juga pernah disenaraikan sebagai salah seorang personaliti 40 Under 40 pada tahun 2017 oleh majalah Prestige Malaysia.

Gayah kagum dengan semangat Hamizah. Bagi wanita yang meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, usaha yang bersungguh pasti membuahkan hasil.

Foto: Mohd Fauzi Ahamad (Instagram : @fauziepop)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts