Selepas melalui pelbagai episod pasang surut dalam hubungan cintanya, penyanyi Sufian Suhaimi, 33, selamat melangsungkan akad nikah dengan pilihan hatinya, Rania Al Sadat, 25, dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis akad nikah disempurnakan sekitar jam 9.30 pagi dengan hanya satu lafaz oleh Sufian, disaksikan oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.
Menurut kenyataan yang diedarkan pihak Rusa Music, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berupa sekeping dinar emas, bersama tiga dulang hantaran berbalas lima, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat pengantin perempuan.
Pasangan ini mula berkenalan sejak tahun 2022 dan telah mengikat tali pertunangan pada awal Februari 2025.
Selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga, mereka sepakat untuk melangsungkan pernikahan hanya dua bulan selepas bertunang.
Menurut Sufian yang juga merupakan anak kedua dari tiga beradik ini, majlis resepsi akan diadakan secara sederhana dan tertutup dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja, bertempat di ibu kota, dengan jumlah jemputan yang terhad.
Lebih menarik bersempena tarikh keramat ini, Sufian turut mempersembahkan sebuah karya istimewa buat para peminat – sebuah lagu bertajuk “Saksi”, hasil ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen.
Lagu ini membawa naratif kisah cinta pasangan ini, dan turut disertakan dengan muzik video eksklusif yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Sufian bermula jam 2 petang hari ini.
Rania turut tampil secara istimewa dalam muzik video tersebut sebagai simbolik kepada perjalanan cinta mereka yang kini menemui pelabuhan bahagia.
Dalam kenyataan lanjut, pasangan ini memaklumkan bahawa mereka akan terus komited terhadap kerjaya masing-masing.
Sufian kini sedang giat menyiapkan album sulungnya yang dijangka dilancarkan pada penghujung tahun ini. – GayahIsTyping
You may also like
-
Perisma Hargai Sokongan Selebriti – Fokus Usaha Jaga Kebajikan
-
Makar Fest 2.0 Tarik 300,000 Pengunjung – Hargai Ikon Seni Muzik Tempatan
-
Jelajah Rockology 2025 – Gabungan Awie & Search KidDin
-
Perkenal Tiga Anugerah Baharu – KamiSempoi Golden Award 2024 Tambah Kategori
-
Bukan Larian Biasa – Muadzam Lebarun 2025 Langkah Ceria Kilometer Raya