December 8, 2024

The Singing Pilot : Farah Rose Mahu Mekar

LANGKAWI: Dia nampak polos dalam lirik senyum yang penuh ikhlas saat menyambut kehadiran media di pintu ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi baru-baru ini. 

Itu kali pertama mengenali wanita berusia 22 tahun dan dia tidak kekok untuk terus memulakan bicara. Jujurnya, itu antara markah awal yang dicapai Farah Rose sebagai bakat baharu.

Pemilik nama sebenar Nur Farah Najihah Rosmi mengakui minat menyanyi sejak kecil dan mula menyertai pertandingan Bintang RTM seawal umur 10 tahun.

“Saat itu saya memang sudah yakin saya mahu menjadi penyanyi. Saya beruntung kerana minat saya disokong ibu bapa.

“Saya juga mahu realistik dengan memilih pelajaran sebagai keutamaan bagi memastikan ia selari dengan kerjaya nyanyian,” katanya kepadaGayah. 

Perancangan Allah sangat kemas, semuanya berjalan dengan baik iaitu pintu untuk bakat nyanyiannya hadir sebaik pengajiannya sudah pun lengkap.

Farah berkata, dia juga akhirnya bertemu dengan orang yang tepat selepas kabur mengenai dunia seni suara sebelum ini.

Mempertaruhkan single pertama berjudul Ceritaku, Farah memberitahu Eddie Hamid menjadi orang yang percaya dengan kemampuannya lantas menawarkannya untuk merakamkan lagu.

Semuanya bermula setelah komposer itu tertarik dengan kelunakan suara Farah ketika komposer terkenal itu berada di tempat kelahirannya, Pulau Langkawi empat tahun yang lalu.

Ibu dan Bapa yang sentiasa memberi sokongan.

Berkongsi pengalamannya merakamkan single sulungnya itu, Farah akui menyanyi bukan semudah di sangka.

“Ini adalah kali pertama saya membuat rakaman lagu di NAR Records. Saya tidak menjangka sebenarnya ia sukar berbanding apa yang dilihat. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya.

“Proses merakamkan lagu tersebut mengambil masa dalam 4 hingga ke 5 jam juga kerana kita nak pastikan emosi saya sampai dalam setiap bait lirik. Dekat situ, baru saya tahu susah sebenarnya nak jadi penyanyi,” katanya.

Bukan sembarangan kecil molek, anak bongsu daripada lima beradik ini mempunyai kelulusan sebagai seorang juruterbang dari HM Aerospace Langkawi dan sedang menunggu masa untuk berkhidmat di syarikat penerbangan.

“Saya baru sahaja tamat pengajian di sekolah penerbangan dengan melengkapkan 200 jam penerbangan pada Disember 2021.

“Saya tak nafikan cita-cita untuk menjadi juruterbang sejak kecil apatah lagi turut didorong oleh keluarga dan abang saya juga seorang juruterbang. Namun dalam masa yang sama turut meminati bidang nyanyian” katanya

Memilih dua kerjaya pada satu masa, Farah berkata dia bersedia dengan kekangan masa yang bakal dihadapi malah mempunyai strategi tersendiri untuk menempa nama dan mencapai cita-citanya.

“Ketika ini, saya ingin fokuskan dahulu dalam bidang nyanyian dan kemudian kita lihat bagaimana perkembangannya selepas saya mendapat lesen juruterbang secara rasmi.

“Saya akui kehidupan sebagai seorang juruterbang sebenarnya agak sibuk tetapi sebenarnya ia fleksibel kerana kita boleh atur jadual penerbangan. Jadi, saya percaya saya boleh bahagikan masa sebagai penyanyi dan juruterbang kelak” katanya.

Majlis pelancaran single terbaharunya di Hotel Goldsands Langkawi baru-baru ini dengan kehadiran teman media, Eddie Hamid serta penyampai radio paling popular Dj Lin.

Lagu dan video muzik Ceritaku ciptaan Puteri Yana dan Eddie Hamid serta lirik yang ditulis Hakimi Hakim dan Arisz Abd.Rahman itu kini boleh dilayari di semua platform digital.

Lebih menarik, lagu Ceritaku turut dipilih menjadi antara lagu tema drama bersiri Honeymoon yang bakal ditayangkan di Slot Dahlia, TV3 pada Mac depan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts