KUALA LUMPUR: “Ini kawan-kawan Aafiyahkan ibu.” Demikian keterujaan puteri kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila melihat video dan gambar kiriman anak-anak Gaza.
Gambar dan video berkenaan ialah kiriman anak-anak Gaza yang juga pelajar di sekolah yang dibuka oleh penyanyi itu bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menerusi Yayasan Nurjiwa.
Penyanyi nombor satu negara itu meluahkan rasa syukur untuk membuka sekolah di Gaza, Palestin tercapai.
Siti berkata, perkara yang sudah lama diimpikannya itu akhirnya berjaya direalisasikan dengan pembukaan pra sekolah yang dinamakan Afwa & Aafiyah sempena nama putera dan puterinya.
“Sekolah berkenaan sudah beroperasi hampir setahun dengan menyediakan pendidikan asas dan kelas hafazan buat kanak-kanak seawal usia empat tahun.
“Alhamdulillah saya gembira kerana ini sudah menjadi sesuatu yang saya ingin lakukan sejak dahulu lagi lebih-lebih lagi memikirkan apa yang berlaku terhadap anak-anak ini di bumi Gaza,” katanya.
Tambah Siti, Sekolah Afwa & Aafiyah terletak di Gaza, Palestin bertujuan membantu anak-anak untuk berjaya dalam
pendidikan serta adab yang baik.
Beliau berkata, ada seorang wakil yayasan berkenaan yang mengendalikan sekolah berkenaan di sana.
Katanya, setiap bulan lebih RM10,000 disalurkan kepada sekolah berkenaan untuk pengurusan termasuk makan dan minum.
“Lebih bermakna apabila anak-anak berkenaan selalu menghantar gambar dan video anak-anak berkenaan yang mendoakan kami.
“Mereka juga menyampaikan ucapan hari lahir serta ucapan buat Aafiyah dan Afwa.
“Apa yang utama ini (kerja-kerja amal) juga sebagai bekalan akhirat saya dan suami,” katanya.
Sementara itu, TokTi bakal muncul dalam persembahan eksklusif Music of The Soul An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza di Plenary Hall pada 5 dan 7 November ini.
Lebih istimewa, persembahan malam itu bakal menampilkan Datuk Awie buat kali pertama bergandingan dengan TokTi.
Konsert ini bakal mengumpulkan dana RM1 juta untuk disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa bagi tujuan kebajikan. – GayahIsTyping.
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
Festival of Drums and Percussion Malaysia 2024 – Pentas Pemuzik Terbaik Negara
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak
-
Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran
-
Jangan Pandang Belakang 2 – Jin Tak Perlu Jaga Manusia