PETALING JAYA: Gergasi hospitaliti global, Accor, dan salah satu pemaju hartanah terkemuka tanah air, Tropicana Corporation Berhad (Tropicana), memeterai perjanjian pengurusan hotel bagi memperkenalkan Mercure Living Genting Highlands menggabungkan kepakaran hospitaliti bertaraf dunia dan konsep perbandaran lestari bagi menawarkan penginapan lanjutan (extended-stay) yang serba baharu di salah satu destinasi percutian tanah tinggi paling popular di Malaysia.
Mercure Living Genting Highlands bakal disepadukan secara eksklusif dalam pembangunan TwinPines Serviced Suites di Tropicana Grandhill, sebuah presint berorientasikan kesihatan seluas 112 ekar yang terletak dalam perbandaran bersepadu Tropicana WindCity seluas 596 ekar di Genting Highlands.
Kehadiran jenama hospitaliti antarabangsa ini dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Tropicana WindCity sebagai destinasi tanah tinggi pilihan yang menggabungkan elemen gaya hidup, kesejahteraan dan pengalaman percutian premium.
Dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2028, Mercure Living Genting Highlands akan menawarkan sebanyak 1,443 unit suite berperabot lengkap yang direka untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen pengunjung.
Setiap suite akan dilengkapi dengan ruang kediaman yang luas, termasuk kemudahan dapur dan ruang makan bagi memberikan keselesaan seperti berada di rumah sendiri di mana konsep ini selari dengan penawaran Mercure Living yang menekankan pengalaman penginapan jangka panjang yang praktikal tanpa mengorbankan kemudahan bertaraf hotel.

Selain itu, pembangunan ini turut menawarkan pelbagai kemudahan premium untuk melengkapkan pengalaman penghuni dan tetamu termasuk restoran makan sepanjang hari (all-day dining), ruang legar eksekutif (executive lounge), dewan serbaguna untuk acara dan pertemuan, kolam renang yang dilengkapi sistem pemanas, serta pusat kecergasan moden bagi menyokong gaya hidup aktif dan sihat.
Mengulas mengenai kerjasama berimpak tinggi ini, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Premium, Midscale & Ekonomi Accor Asia, Garth Simmons menyatakan keyakinan beliau terhadap potensi Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan yang terus berkembang pesat.
“Mercure Living Genting Highlands merupakan peluang terbaik untuk kami memperluas penawaran penginapan jangka panjang di Malaysia melalui kolaborasi bersama salah satu pemaju terkemuka negara. Kami percaya pembangunan ini berada di posisi terbaik untuk memenuhi permintaan pelancong yang kini mahukan fleksibiliti, keselesaan, dan pengalaman lokal yang autentik,” katanya.- GIT MEDIA
