Pertama Survival Sedekad Perjuangan Seni Syamel – Percaya Waktu Yang Tepat Lahirkan Album Sulung

SHAH ALAM: Meskipun hanya selepas sedekad bergelar penyanyi, Syamel percaya kini sudah sampai waktu yang tepat baginya melahirkan album sulung melambangkan survival dalam memahat koordinat selesa dalam perjuangan sebagai anak seni.

Pertama menjadi album yang lahir dengan rakaman episod perjalanan jatuh bangun kerjaya seninya sepanjang sedekad mewarnai industri muzik tanah air.

Menurut Syamel, album Pertama memuatkan enam buah lagu yang disusun rapi umpama sebuah naskhah buku yang mengandungi enam babak penceritaan emosi. Setiap runut bunyi di dalam album ini menyelami tema universal seperti perasaan kehilangan, kerinduan, harapan, dan juga keberanian untuk memulakan lembaran baharu.

“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya.

“Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” jelas penyanyi itu.

Kongsi penyanyi yang mempunyai kredibiliti ‘power vocal’ itu, perkataan Perama dipilih kerana membawa dua makna yang cukup mendalam iaitu penanda aras sebagai album sulungnya dan juga simbolik keberanian untuk terus bangkit selepas berdepan sebarang kegagalan, kehilangan, mahupun kekecewaan.

Pada masa yang sama, buah tangan ini merupakan satu dedikasi dan tanda terima kasih buat para peminat yang tidak jemu menyokongnya selama 10 tahun. Bagi memastikan kualiti album ini berada pada tahap tertinggi, Syamel telah bergabung tenaga dengan barisan komposer berkaliber tempatan termasuklah Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan, dan Adam Armin.

Demi mengekalkan identiti peribadi yang tulen, Syamel arjuna hati kepada penyanyi hebat Ernie Zakri itu, turut turun padang bertindak selaku penulis dan pencipta bagi tiga buah lagu iaitu Cukup Sekali, Dalam Kenangan, dan Aku Bukan Dia. Tiga lagi karya yang melengkapkan album tersebut ialah Beribu Tanda Tanya, Tunjukkan Ku Bahagia, dan Pertama.

“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” katanya. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *