KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal menganjurkan Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) selama empat hari berturut-turut bermula 16 hingga 19 Julai 2026, bertempat di Kampus ASWARA, Kuala Lumpur menghimpunkan penggiat seni, tokoh teater dan anak seni daripada lima buah negara serantau bagi meraikan kepelbagaian landskap seni persembahan teater membawa tema “Tanda. Temu. Tamu”.
FTA 2026 anjuran Fakulti Teater universiti itu, diangkat sebagai medan interaksi budaya yang holistik serta wadah apresiasi terhadap Seni Teater Kontemporari. Melalui penganjuran ini, para pengunjung akan berpeluang menyelami keunikan budaya, aplikasi estetika moden, dan kreativiti anak seni serantau melalui pelbagai pengisian program yang komprehensif.
Tirai FTA 2026 bakal dibuka dengan Majlis Perasmian yang dijadualkan berlangsung pada 16 Julai 2026 (Khamis), bertempat di Dewan Orkestra, ASWARA. Majlis gilang-gemilang ini akan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Datuk Shaharuddin Abu Sohot,
Sepanjang empat hari festival ini berlangsung, para pencinta seni dan orang awam dijemput hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dijadualkan bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam di mana antara pengisian utama festival termasuklah Bengkel Teater, Work in Progress, Kedai Cerita Runcit dan Showcase.

Untuk Kedai Cerita bakal membawakan siri monodrama berdurasi pendek yang mengangkat konsep site-specific yang menawarkan ruang alternatif bagi penonton menikmati teater secara bukan konvensional.
Menggunakan premis santai sebagai pentas, naskhah ini bukan sekadar persembahan, malah menjadi titik temu bagi dialog seni, pertukaran idea, dan pemerkasaan rangkaian komuniti kreatif.
Showcase pula membabitkan persembahan teater kontemporari berskala tinggi oleh barisan artis dan kumpulan teater jemputan dari dalam dan luar negara.
Penganjuran FTA2026 ini merupakan manifestasi jelas peranan proaktif ASWARA dalam memperkasa pendidikan seni budaya bukan sahaja di peringkat akademik, malah sebagai penggerak kepada transformasi industri seni kreatif yang lebih progresif dan berdaya saing.
Penganjuran festival ini juga amat signifikan kerana ia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta usaha ASWARA dalam menyokong penuh agenda nasional kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi segmen pelancongan budaya (cultural tourism). Festival ini bertindak sebagai pemacu dalam memartabatkan seni budaya tempatan ke persada antarabangsa di samping meneroka ruang seni kontemporari dengan mengekalkan keaslian tradisi yang menjadi identiti serantau.
Demi memastikan aksesibiliti seni kepada semua lapisan masyarakat, semua aktiviti FTA2026 adalah PERCUMA, kecuali bagi program showcase yang menetapkan harga tiket bernilai RM 10.00. Memandangkan kapasiti ruang adalah terhad, para penonton dinasihatkan untuk membuat tempahan slot secara dalam talian menerusi platform Cloudjoi.com. – GIT MEDIA
