September 7, 2024

Jaja Ishak Akui Pilih Bulu

KUALA LUMPUR : Andai perlu membuat pilihan antara dua pelakon yang sama tahap bakatnya, kelebihan pasti akan berpihak kepada mereka yang berasal dari Pahang.

Itu hakikat dan realiti yang diakui penerbit Jaja Ishak mengenai kriteria pelakon dalam produksinya Jaja Ishak Channel.

Mengulas lanjut, Jaja berkata dia lebih selesa untuk membuka peluang kepada orang kampungnya kerana percaya itu antara cara terbaik menyumbang semula kepada masyarakat.

“Secara jujurnya memang saya memilih bulu, itu rumah produksi saya dan saya tidak kisah. Pada saya tidak ada salahnya lebih-lebih lagi jika pelakon itu berbakat dan ada potensi untuk menyinar.

“Saya juga tidak kisah andai ada yang tidak selesa dengan pendirian saya kerana saya tahu apa yang pilih,” katanya.

Jaja ditemui pada majlis Lepak dan Makan-Makan bersama Indigital Music dan FYP Media di ibu kota.

Tambahnya, lokasi pilihannya juga selalunya mebabitkan negeri Pahang sebagai satu usaha mempromosikan tempat kelahirannya itu.

“Bila kita guna pelakon dan tenaga dari Pahang juga jadi ia akan membantu dari banyak faktor termasuk kos dan melancarkan perjalanan penggambaran.

“Seperti drama saya sebelum ini membabitkan Datuk Fizz Fairuz dan Norkhiriah yang memang asal Pahang,” katanya.

Jaja berkata, dia bagaimanapun tidak menolak untuk bekerjasama dengan semua pelakon asalkan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Terbaharu, produksinya bakal menjalankan penggambaran drama bersiri berjudul Panggil Aku Dahlia iaitu percintaan mebabitkan pengusaha ladang teh.

“Sekali lagi saya akan gunakan lokasi di Pahang iaitu Cameron Highland, Jelai, Kuantan dan Temerloh,” katanya.

Jaja berkata, pemilihan lokasi di Pahang juga dibuat bagi memudahkan dia dan wakil syarikat memantau perjalanan penggambaran.

“Kita tidak boleh harap sepenuhnya kepada pihak pengurus produksi, wakil kita atau saya sendiri kena ambil tahu dan turun lokasi,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts