January 23, 2025

Fizz Fairuz Cuba Formula Guna Influencer Dalam Mat Tudung Begins

KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengarah Datuk Fizz Fairuz memilih pemengaruh atau Influencer sebagai formula bagi melariskan filem sulung arahan serta terbitannya Mat Tudung Begins.

Filem yang mula menemui penonton hari ini itu juga versi prekuel filem Mat Tudung yang ditayangkan pada 2014.

Fizz berkata dia memilih Mimi Peri dan Maryam Durian Kimchi iaitu influencer yang popular di platform media sosial masing-masing untuk melihat kemampuan mereka menarik pengikut ke panggung.

“Kalau Mat Tudung dulu kita belum ada influencer dan viral semua ini, jadi saya ambil pendekatan baru dengan menampilkan mereka.

“Ini adalah pertaruhan dan percubaan saya untuk lihat bagaimana filem pergi dan sambutan dalam kalangan mereka yang mengikuti mereka,” katanya.

Beliau menambah, kemunculan kedua-dua influencer itu memberikan warna tersendiri dalam filem berkenaan kerana masing-masing membawakan watak mereka dengan baik.

 

“Saya perlu puji komitmen Maryam yang berusaha begitu baik walaupun belum fasih sepenuhnya berbahasa Melayu begitu juga Mimi yang kita lakukan penggambaran berasingan kerana ketika itu berada dalam pandemik Covid-19,” katanya.

Bercerita mengenai Mat Tudung Begins, Fizz menjelaskan ia bukanlah kesinambungan kepada jalan cerita filem sebelum ini.

“Akhirnya hasrat saya ini terlaksana setelah saya dapat kebenaran untuk terbitkan sendiri, tetapi bukanlah Mat Tudung 2.

“Sebaliknya, ia adalah prekuel yang bermakna kisah yang berlaku sebelum Mat Tudung pertama dan sebab itu tajuknya adalah Mat Tudung Begins.

“Menerusi filem ini, ia menjelaskan tentang bagaimana Johari boleh belajar menjadi Mat Tudung dan rakan yang mencetuskan idea untuk dia menyamar,” katanya.

Antara yang turut membintangi filem ini ialah Achey, Isyariana, Fazlina Ahmad Daud dan Kazar.

Ditanya harapan terhadap filem itu, Fizz meminta semua pihak memberikan sokongan dan menonton berama-ramai sambil bergelak ketawa.

“Saya letak harapan kutipan RM10 juta itu harapan saya, dapat atau tidak soal kemudian, yang penting usaha dan berdoa.

“Mana tahu boleh kalahkan Mat Kilau,” katanya berseloroh. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts