February 8, 2025

Cabaran Dapur Tempur Hampir Ke Penghujung

PETALING JAYA: Rancangan masakan yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, Dapur Tempur bakal menuju ke penghujung misinya mencari jaguh dapur masakan.

Pastinya setiap peserta akan berusaha keras untuk menambat hati juri sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan bernilai lebih RM10,000.

Pengurus Besar Pengurusan Kandungan & Siaran TV9 Khairunnisa Kamarulzaman berkata, setiap pasangan yang dipilih menyertai program realiti ini adalah yang benar-benar mempunyai pengalaman memasak, berpengetahuan dan mahir menggunakan setiap bahan masakan.

“Pencarian untuk pasangan pemenang yang berkualiti bermula dengan figura penting yang arif dalam dunia masakan. Chef Adu dan Sheila Rusly memainkan peranan yang sangat mustahak untuk memberi komen dan hala tuju yang sebenar kepada setiap peserta supaya mereka sentiasa berada di tahap yang tertinggi sepanjang program Dapur Tempur,” katanya.

Tambahnya, rancangan realiti lapan episod itu tentunya akan ada saat-saat dramatik dan emosional bukan sahaja peserta, bahkan penonton memberi tumpuan kepada setiap senario yang diketengahkan dalam program ini.

“Ini juga merupakan antara momen terbaik untuk mereka merapatkan lagi silaturahim sesama mereka sebagai ahli keluarga kerana ada di antara mereka merupakan suami isteri, ibu dan anak, biras, pak cik dan anak saudara serta adik beradik,” katanya.

Khairunisa berkata, peserta perlu menunjukkan komitmen yang tinggi kerana setiap pasangan peserta yang dipilih sememangnya terdiri daripada mereka yang sering memasak untuk hidangan seisi keluarga.

Mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal ketika berhadapan dengan pesaing lain terutamanya teguran daripada juri tetap dan juri jemputan pada minggu itu.

Pemenang program Dapur Tempur yang dibawakan oleh Panasonic dan NONA akan membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta ketuhar stim cubie Panasonic dan bekalan produk NONA selama setahun.

Naib juara pula berpeluang untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan periuk nasi IH Panasonic.

Tempat ketiga membawa pulang mesin pembuat roti Panasonic manakala tempat keempat membawa pulang pemerah jus perlahan Panasonic.

Bagi pemenang mingguan pula, mereka berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai RM500 tajaan NONA dan pemenang cabaran NONA membawa pulang hamper produk NONA bernilai RM1,000. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts