March 16, 2025

Hariz Hamdan Dan Pon Nawasch Kongsi Tips Kesihatan Di Bangkok

KUALA LUMPUR : Hero yang sedang meningkat naik Hariz Hamdan teruja dapat bertemu dengan pelakon terkenal Thailand, Pon Nawasch dalam majlis pelancaran koleksi sebuah jenama sukan di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Menurut Hariz, 21, dia amat mengagumi pencapaian kerja lakonan bintang yang cukup popular dengan drama Devil In Law dan Praomook itu.

“Walaupun dia amat popular di Thailand, tetapi dia amat merendah diri dan tidak lokek memberikan saya nasihat tentang kerjaya dunia lakonan.

“Selain itu, kami juga saling bertukar-tukar pendapat memandangkan sama-sama menitik berat tentang penjagaan kesihatan,” kongsi Hariz.

Dalam pertemuan itu, Pon yang juga duta ASICS Thailand yang sempat menitipkan nasihat buat Hariz. Baginya Hariz seorang pelakon muda yang mempunyai masa depan cukup cerah dalam industri seni tempatan.

“Saya mengenalinya kerana kami sama-sama menjadi duta jenama ASICS di negara masing-masing. Sebenarnya, saya agak terkejut apabila mendapat tahu usianya baru 21 tahun, cukup muda.

“Tetapi melihat pencapaiannya dan cara dia membawa diri saya yakin dia akan pergi jauh dalam industri seni. Cuma nasihat saya, jangan berhenti untuk bekerja keras meskipun sudah berada di tahap yang selesa, “ kata Pon.

Sementara itu, Pon terkejut apabila diberitahu bahawa dia cukup dikenali di Malaysia.

“Saya popular di Malaysia? Sejujurnya saya tidak tahu tentang perkara itu. Apapun terima kasih buat peminat yang memberi sokongan dengan menonton drama saya termasuk di Malaysia,” katanya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaharunya.

Dalam pada itu, Hariz yang juga duta ASICS Malaysia di bawa terbang ke Bangkok, Thailand baru-baru ini untuk majlis pelancaran koleksi ASICS Autumn Winter 2023 yang menghimpunkan semua duta jenama tersebut dari seluruh Asia Tenggara. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts