February 25, 2024

Kasih Sayang Anuar Zain Faktor Hadirnya Ziana Zain Konsert 2024

KUALA LUMPUR : Menelusuri momen pengumuman bermakna konsert paling dinantikan oleh kesuma hati ramai Ziana Zain semalam, sebenarnya merakamkan betapa indahnya ikatan kasih sayang dua beradik.

Meski tidak dilafazkan secara terus, kasih paling tinggi seorang adik buat kakaknya, membuatkan hal yang kian lama tertangguh akhirnya menjadi realiti.

Penyanyi pada kelas tersendiri ini bersetuju, bukan mudah untuk memadam trauma akibat rencana konsert yang pernah gagal dan menghantui dirinya beberapa tahun dulu.

Ziana bangkit dan mahu melakukan Ziana Zain Konsert 2024 bersama Anuar yang menjadi antara tunggak utama dalam satu lagi resume penting kerjaya seni penyanyi lagu Syurga Di Hati Kita itu.

Malah, Ziana mengakui penglibatannya di dalam dua buah konsert berskala besar bersama Anuar sebelum ini menjadi kekuatan untuknya meneruskan Ziana Zain Konsert 2024 yang bakal diadakan pada 25 Mei tahun hadapan.

Ziana berkata, keyakinan tersebut juga disambut baik ramai pihak dan terharu melihat sokongan berterusan yang diterima daripada peminat setianya.

“Semuanya berlaku sejurus saya selesai melakukan konsert duet bersama Anuar Zain di Kuala Lumpur dan Singapura sebelum ini. Rasa seronok pula.

“Kemudian Alhamdulillah saya dapat pelawaan daripada Anuar Zain Network dan rakan kerjasama lainnya untuk jayakan konsert solo saya. Mengapa tidak untuk cuba?

“Tetapi bila pihak mereka sudah buat tawaran tersebut, ada juga pihak lain yang turut berminat. Namun saya tolak dengan cara baik, bukan tak mahu berkerjasama. Malah rasa terharu bila ada pihak yang sudi taja. 

“Tapi saya punya cara, first come first serve. Pegang pada janji. Sebab bagi saya yang paling penting pada malam itu nanti ialah pemilhan lagu-lagu yang boleh berikan impak,” katanya.

Ziana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Ziana Zain Konsert 2024 di Menara KL, pada Rabu.

Sementara itu, Ziana tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja menonton video dedikasi istimewa sempena konsert tersebut daripada empat orang anaknya.

“Aiman doakan mama konsert berjalan dengan lancar dan juga meriah. Jangan risau mama, kami adik beradik ada untuk support mama.

“Terima kasih mama kerana berada di sisi kami sejak kami kecil. Terima kasih untuk segalanya dan kami sayangkan mama,” kata anak sulungnya, Muhammad Aiman Armin Zaharin, disusuli ucapan adik-adik.

Ziana Zain Konsert 2024 ditaja oleh CSA Academy, anjuran bersama Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd serta dengan kerjasama Altus Prohouse.

Konsert istimewa itu bakal menyaksikan gabungan hasil kreatif muzik dan pentas dari Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik serta 16 orang pemuzik profesional manakala Jennifer Thompson berperanan sebagai pengarah konsert.

Bintang filem Maria Mariana dan Sembilu ini juga mengakui, antara cabaran utama dia dan pasukannya ialah memilih lagu yang bakal dipersembahkan.

“Saya akan duduk dan berbincang sebaik mungkin, saya tahu semua peminat ada lagu pilihan mereka dan ya saya akan berusaha tampilkan lagu yang boleh sing along pada malam konsert nanti,” katanya.

Jangan ketinggalan untuk dapatkan tiket konsert yang bakal dilangsungkan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur ini bermula pada harga RM288 (Gold) RM1088 (VIP 1) di laman web ticket2U bermula hari ini, jam 10.00 pagi.

Kali terakhir Ziana muncul dengan konsert solo adalah pada tahun 2001 menerusi konsert Ziana Zain In The Park di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts