KUALA LUMPUR: Akui pernah hampir kecewa malah, mereka jujur mengakui bukan mudah mengekalkan jenama Rizman Ruzaini dalam koordinat industri fesyen negara dan terus kukuh menghampiri usia dua dekad sejak kali pertama mereka busana jenama bermula 17 tahun dulu.
Bagi pasangan sahabat baik Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, mereka telan semua kritikan dan kutukan yang dilemparkan serta menjadikan semua itu sebagai satu pembakar semangat untuk terus berjaya dengan membuktikan kini mereka menjadi antara pemain utama dalam industri fesyen tempatan yang mempunyai pelanggan tersendiri.
“Kalau fikir balik, saya sendiri pernah tidak keluar rumah sehingga tiga hari apabila dihentam dan dituduh bukan-bukan. Saya bertua kerana Ruzaini sentiasa ada di sisi dan menjadi penguat.
“Kami telan dan pendam semuanya, pada kami yang penting fokus dan terus jalan ke depan. Apa yang paling penting kita tahu matlamat kita. Alhamdulillah usaha kami membuahkan hasil, malah kami juga mampu menyumbang kepada masyarakat termasuk menawarkan peluang pendapatan,” kata Rizman ketika diminta mengimbau kebangkitan jenama itu.
Rizman berkata, paling penting dalam setiap perkara yang dilakukan ialah disiplin dan sentiasa merendah diri dalam memastikan apa yang dilakukan berada pada landasan yang betul.
Lantaran itu, tidak hairanlah mereka mempunyai pelbagai edisi mengikut kategori dalam jenama fesyen yang di hasilkan iaitu Rizman Ruzaini bagi edisi premim dan RR ready to wear, masing-masing mengikut pilihan pembeli.
Sementara itu, mereka sekali lagi muncul dengan koleksi terbaharu iaitu RR Cruise untuk tahun kedua dengan menampilkan Pengarah Kreatif RR, Yana Baharudin menjadi tulang belakang utama dalam cetusan idea koleksi ini.
Mengenengahkan warna-warna yang berani dan menyerlah, ternyata koleksi RR Cruise tahun ini bakal mencipta fenomena tersendiri. Berkongsi mengenai idea di sebalik rekaan kali ini, Rizman memberitahu, sama seperti koleksi RR yang lain, RR Cruise juga adalah indikator dalam menentukan keberanian masyarakat kini untuk tampil dengan gaya yang lebih berani.
“RR Cruise adalah koleksi wajib yang akan terus kami lancarkan bersempena dengan musim percutian. Pada pengamatan saya, menjadi satu kebiasaan apabila kita keluar bercuti terutamanya ke lokasi kepulauan atau pantai, kita berkehendakkan baju serta aksesori fesyen yang menarik selain selesa. Koleksi RR Cruise adalah jawapan kepada semua itu.
“Kami mahu peminat jenama RR muncul berbeza dalam khalayak, justeru dengan penggunaan warna yang lebih berani serta rekaan yang segar, RR Cruise wajar menjadi helaian pilihan anda ketika bercuti,” kata Rizman.
Terdahulu, dua pereka itu turut melancarkan pembukaan Butik RR Flagship Store di Four Seasons Place, Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usaha merancakkan lagi jualan produk RR untuk pembelian secara langsung.
“Semua produk RR termasuk koleksi RR Cruise akan dijual melalui rizmanruzaini.my. Lebih mudah untuk mereka yang suka membeli-belah secara atas talian. Sebelum ini juga terutamanya sewaktu pandemik medium ini menjadi nadi utama perniagaan RR.
“Bagaimanpun, kami sentiasa mendengar dan akan membuat pembaharuan dalam urusan perniagaan demi memberikan keselesaan kepada pelanggan. Justeru, RR Flagship Store adalah jawapan kepada mereka yang lebih cenderung kepada butik fizikal. Paling penting di RR, kami akan akan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik tidak kira secara atas talian mahupun di butik,” kata Ruzaini. – GayahIsTyping
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
FestStar Influencer by Puterabell Saji Hiburan Keluarga – Makan Serta Konsert Percuma
-
PMNI Lahirkan Pendakwah Bertanggungjawab Bukannya Jadi Selebriti – Seimbang Ilmu Dunia Akhirat
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak
-
Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran