February 11, 2025

Filem Aksi Angkat Seni Mak Yong

KUALA LUMPUR: Bukan filem aksi biasa, sebaliknya karya arahan seniman prolifik Sabri Yunus ini turut mengangkat seni tradisi Mak Yong yang masyhur di Kelantan.

Filem terbitan Kalamarif Holdings Sdn. Bhd. Ini berjudul Duan Nago Bogho.

Penerbitnya, Kolonel Bersekutu (PA) Arisz Ab Rahman berkata, pihaknya berminat untuk menerbitkan filem Duan Nago Bogho ini kerana tertarik dengan skrip dan jalan cerita yang turut dihasilkan Sabri.

“Saya melihat filem ini berbeza dengan filem-filem aksi sedia ada. Duan Nago Bogho benar-benar filem berwajah kita yang menggabungkan aksi dengan elemen seni budaya Malaysia iaitu Mak Yong dengan nilai komersial.

“Mengenai pemilihan tajuk pula, ia adalah gambaran sifat watak utama iaitu Duan seperti ular ‘Nago Bogho’ atau lebih dikenali sebagai ular tedung selar,” ujarnya.

Beliau berkata, filem sulung terbitan syarikatnya itu menelan kos perbelanjaan sebanyak RM2 juta dan menggunakan dialek bahasa Kelantan sebanyak 80 peratus.

Mula menjalani penggambaran selama 30 hari pada April 2021 di lokasi seperti Kuala Lumpur (90 peratus) dan Kelantan (10 peratus).

Menampilkan pelakon Asrul Faizal selaku teraju utama membawakan watak Duan, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy, Husairi Husain, Angeline Tan, Issey Fadzlisham, Jason Chong dan ramai lagi

Mengenai harapannya terhadap filem berkenaan, beliau berharap agak filem Duan Nago Bogho ini dapat diterima oleh semua golongan penonton.

Sementara itu, Sabri pula menjelaskan dia berminat menulis skrip serta pengarah filem berkenaan setelah melalui sendiri pengalaman yang menarik perhatiannya dalam bidang kesenian khususnya seni tradisional Kelantan.

Jelasnya, ada tiga faktor utama untuk menghasilkan Duan Nago Bogho iaitu mengenai cinta pada seni yang tinggi, pertembungan ideologi pada nilai kesenian dan melihat kepada nilai setiakawan serta pembelotan dalam hubungan persahabatan.

“Ketiga-tiga faktor ini saya rangkumkan menjadi sebuah naskhah dan menjadi tunjang kepada penceritaan yang ingin disampaikan.

“Ia bukanlah sebuah filem aksi semata-mata dan lebih kepada perjuangan dalam pertahankan maruah seni Mak Yong.  

“Watak Duan juga seorang yang melalui dunia pergaduhan demi maruah diri, namun dia bukan jahat atau samseng, tetapi orang yang sangat menjaga maruah dan harga diri, maruah dan harga seninya,” ujarnya.

Duan Nago Bogho mengangkat kisah seorang anak seni tradisional Kelantan Mak Yong iaitu Duan yang juga pemain peran Mak Yong yang mempunyai dua personaliti. Dia yang mencintai seni tradisional juga dalam masa yang sama sangat suka bergaduh.

Filem Duan Nago Bogho akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 19 Januari 2023. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts