PUTRAJAYA: Lokasi terkahir Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell di IOI City Mall di sini berlangsung dengan meriah dan penuh gaya termasuk kejutan istimewa ahli keluarga baharu Suria FM yang diumumkan di hadapan kira-kira 12,000 pengunjung.
Konsert jelajah itu juga dibarisi dengan artis yang memberikan persembahan hebat termasuk Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Floor 88, Mus dan Amir UKs selain bakat baharu dalam persembahan selama empat jam.
Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abdul Majid yang juga dikenali dengan nama DJ Lin berkata, sambutan yang diberikan sangat hebat dan sangat bermakna sepanjang jelajah yang diadakan bermula di Kuantan, Alor Setar, Johor Bahru dan Putrajaya.
“Kami juga terharu dengan sokongan di kedai Suria yang mencatat jualan kira-kira RM50,000 sepanjang empat lokasi hasil jualan cenderahati termasuk kemeja T Suria yang turut membuka peluang pendengar yang membeli memenangi hadiah cabutan bertuah antaranya basikal lipat dan motosikal.
“Kami juga gembira dengan sambutan lebih 30,000 pengunjung di empat lokasi jelajah kami,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai jelajah terakhir itu, DJ Lin berkata Suria FM turut mencipta sejarah dengan penjenamaan semula segmen pagi dengan nama Morning Morning Suria serta pengumuman Shuib sebagai penyampai terbaharu bergandingan dengan Suraya dan Ajak.
Dia berkata, kejutan itu memang sengaja dirancang untuk diumumkan kepada pendengar Suria di siri jelajah terakhir.
“Kami berharap sokongan terus diberikan dan Suria kan melalui proses ‘radio survey’ pada September ini dengan berjaya dan lancar,” katanya.
DJ Lin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar yang memberikan sokonagan padu serta penaja iaitu Kak Ell yang bersama-sama sepanjang jelajah diadakan.
Bercerita mengenai pilihan Shuib, DJ Lin berkata sebenarnya Suria FM pernah melamar duda popular itu sebelum ini, namun ketika itu pihaknya terlambat apabila suami kepada arwah Siti Sarah sudah menerima pelawaan stesen yang lain.
Shuib ketika ditemui berkata, dia menerima pelawaan Suria FM kerana percaya stesen itu platform terbaik buatnya kembali aktif dalam bidang seni.
“Saya rasa sudah seperti tepu selepas arwah pergi, jadi saya mahu kembali. Saya percaya ini juga rezeki yang ditinggalkan arwah isteri buat saya dan anak-anak,” katanya. – GayahIsTyping
You may also like
-
Terima Kasih Suria FM – Buka Peluang Penyanyi Dikir Kelantan Ketengahkan BakatĀ
-
Abang Bomba Pendengar Setia Suria FM – Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire Tarik Peminat Brunei, Singapura
-
Baim Wong Bawa Anna Jobling Ke Indonesia – Terima Tiga Tawaran Selepas Lembayung
-
Misi Nekad Aina Abdul – Anjur Konsert Jelajah Dengan Dana Sendiri Selepas ‘Rejection’ Dan ‘False Hope’
-
Cincin Adira Laris – Terjual 400 Unit Selepas Dilancarkan