KUALA LUMPUR: Menyatukan dua nama besar dalam industri seni ini bukan perkara mudah meskipun mereka mempunyai pertalian darah serta hubungan yang penuh dengan kasih sayang.
Anuar dan Ziana Zain bukan calang-calang penyanyi kerana mereka masing-masing punya kredibiliti tersendiri dalam menempatkan diri pada koordinat persada muzik tanah air serta berdiri di atas identiti tersendiri.
Akui kedua-duanya, hampir empat tahun masa diambil sebelum masing-masing mencapai kata sepakat untuk merealisasikan Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu lalu.
“Kami memang ada bersembang mengenai impian ini tapi selalunya ia berlalu begitu saja. Banyak perkara yang perlu diambil kira termasuk nada suara kami yang berbeza,” cerita Anuar usai tamat persembahan dalam sidang media yang dijalankan.
“Betul, dan sudah rezeki kami akhirnya dapat realisasikan dengan perancangan tersusun. Saya sendiri, faham ramai yang bertanya bila persembahan saya selepas lama tidak muncul dengan konsert,” sokong Ziana yang jelas kelihatan seorang kakak penuh aura kasih sayang pada adiknya.
Kedua-dua mereka tidak putus-putus menyusun kata terima kasih kepada semua pihak terlibat terutamanya peminat yang setia menyokong mereka sejak lebih dua dekad bergelar penyanyi.
Pada wajah kedua-duanya jelas tergambar rasa lega saat menyusun lafaz kata pada rakan media bercerita mengenai konsert yang sangat istimewa dan dinantikan ramai pihak.
Benarlah, tiada yang lebih utama dalam kehidupan seorang manusia bergelar anak melainkan sentiasa dipayungi doa serta restu kedua ibu bapa mereka.
Bagi dua permata seni tanah air ini, mereka akui berkat reda dua syurga mereka iaitu Zain Abdullah, 84, dan Robiah Abdul, 71, menjadi antara rahsia utama kejayaan mereka dalam hidup.
Ziana turut berkongsi rasa berkenaan kepada seluruh penonton dan memberitahu malam itu menjadi momen bermakna apabila dua orang tuanya turut ada bersama selain dua hero ibu tunggal itu iaitu anak Muhammad Aiman dan Muhammad Amar.
“Terima kasih abah dan mak yang sentiasa ada bersama kami dan selalu mendoakan kami. Saya harap dan berdoa agar mak dan abah sentiasa sihat dan dirahmati Allah,” kata pemilik nama penuh Siti Roziana Zain, 54.
“Abah kami seorang anggota polis dan kami sentiasa dipantau oleh abah. Walaupun kami artis, seperti saya ketika kecil sudah mula menyanyi tapi bila di rumah saya tetap kena siram pokok bunga, sama seperti adik beradik lain,” tambah Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 52.
Ziana di sisi turut memberitahu, dalam bab nyanyian, bapa mereka yang mesra disapa Pak Zain menjadi insan yang bertanggungjawab menjadi pengkiritik tetap dan penasihat.
Melihat secara keseluruhan persembahan Ziana dan Anuar pada malam ini, ternyata mereka berjaya membuktikan masih ampuh dalam senarai penyanyi terbaik negara merangkumi semua aspek baik vokal, komunikasi mahupun persembahan.
Kesemua 16 lagu bersama beberapa medley yang disampaikan secara spontan mendapat sambutan penonton tanpa perlu diminta dan menyanyi bersama.
Ziana membuktikan, pada usianya dia masih hebat dan mampu mengekalkan nota nyanyian lagu-lagunya yang sangat ikonik meskipun timbul suara-suara nakal yang meragui kemampuan pemenang Voice of Asia Kazakhstan 1995 ini.
Berbanding Ziana, Anuar lebih aktif muncul dengan persembahan dan konsert sebelum ini. Kemampuannya bukan sesuatu yang perlu dipertikaian.
Apa yang menarik perhatian, cara seorang Anuar Zain yang begitu menghargai peminat dan sanggup turun ke arena penonton berinteraksi dan melayan semampu mungkin tanpa ada rasa canggung.
Tidak dinafikan ada suara yang kurang senang dengan pendekatan bekas pramugara itu. Ternyata anda tidak mengenali Anuar secara total. Kerana jika anda penggemar lelaki itu, apa yang anda saksikan, itulah Anuar Zain dalam setiap edisi persembahannya yang akan melayan peminat tanpa ada rasa lelah.
Jambangan ucapan tahniah wajar diberikan kepada semua yang terlibat terutamanya penganjur Trumpet International Sdn. Bhd. dan pasukan pemuzik serta penerbit yang menyusun kemas konsert berkenaan. Bukan mudah untuk membuat pemilihan lagu daripada dua penyanyi yang tidak keterlaluan dikatakan setiap lagu mereka menjadi lagu hits.
Pastinya setiap penonton yang mengisi ruang konsert ‘penuh panggung’ itu menggenggam kemas memori indah menyaksikan persembahan gemilang. Atmosfera Plenary Hall, KLCC juga penuh warna warni bermula dengan alunan Sangkar Cinta sehingga ke penutup Di Akhir Garisan dendangan dua adik beradik yang tiada tandingan ini.
Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur, resume serta justifikasi, keampuhan dua penyanyi ini. – Gayahistyping
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
Festival of Drums and Percussion Malaysia 2024 – Pentas Pemuzik Terbaik Negara
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak
-
Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran
-
Jangan Pandang Belakang 2 – Jin Tak Perlu Jaga Manusia