ALOR SETAR: Seawal jam 9 pagi pentas utama Aman Sentral di sini sudah dikerumuni pengunjung bagi memilih atau ‘cop’ tempat duduk di depan pentas utama sempena konsert Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell Sabtu lalu.
Suasana itu dapat dilihat ketika penyampai Suria FM dan barisan artis hadir bagi membuat ‘sound check’ sebelum konsert berlangsung kira-kira jam 2 petang.
Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid berkata, dia sendiri terharu bila melihat orang ramai mula berkumpul ketika artis dan penyampai membuat sesi latihan.
“Kami amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan. Terima kasih buat pendengar Suria FM di kedah yang setia bersama kami.
“Lebih bermakna kedai Suria dan Kak Ell juga diserbu peminat dan membuat belian sangat memberangsangkan,” katanya.
DJ Lin yang juga penyampai Suria Cinta berkata, jelajah di Kedah berjaya menarik hampir 5,000 pengunjung yang setia sehingga ke penghujung konsert.
Dia menambah kesemua artis terbabit turut memberikan komitmen terbaik menjayakan persembahan pentas yang disusun gabungan artis 90-an dan baharu.
“Kami gembira dengan semua yang terlibat termasuk bakat baharu, busker yang menghiburkan pengunjung.
“Kami juga berharap sambutan yang sama juga bakal diberikan pengunjung di Johor Bahru pada Sabtu ini,” katanya.
Persembahan penutup jelajah di Kedah ternyata menggamit memori apabila semua pengunjung berdiri dan sama-sama menyanyikan lagu Tiara nyanyian Alim Kris bersama Haqiem Rusli.

Turut memeriahkan persembahan ialah Safura, Poey Sting, Rahmad Mega, Tajul, Afieq Shazwan, Dolla, Yonny Boi dan ramai lagi.
Lebih menarik jelajah berkenaan turut memberi peluang pendengar mengenal lebih dekat barisan penyampai Suria FM seperti Ajak, Suraya, Cik Pia, Tyzo, Rara, Ana J dan DJ Lin sendiri.
Seperti biasa hadiah menarik seperti motosikal, basikal lipat dan peralatan elektrik turut diberikan kepada pedengar bertuah.
Edisi selatan jelajah yang sama bakal berlangsung Sabtu ini di Paradigm Mall, Johor Bahru. – GayahIsTyping