January 17, 2025

Zharif Sudah Bergelar Suami

Bakat kelahiran Akademi Fantasia 2014, Zharif Kamil kini sah bergelar suami selepas selamat bernikah pada 28 Disember 2018 lalu di Kota Tinggi, Johor.

Zharif, 30, memberitahu Gayah dia mengadakan majlis kecil-kecilan di sebelah isterinya yang dikenali sebagai Nur Liyana Ashari, 25.

Zarif dan Liyana selamat disatukan pada 28 Disember 2018.

“Saya tidak berniat untuk menyembunyikan perkahwinan ini, cuma ia diadakan secara sederhana sahaja membabitkan ahli keluarga terdekat dan teman rapat.

“Lagipun siapalah saya, adakah orang nak ambil tahu?” katanya.

Zharif berkata, dia mengenali isterinya itu sejak tujuh bulan lalu sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Dia yang popular dengan lagu Khalisya berkata, dirinya bersyukur kerana semua urusan dipermudahkan dan majlis pernikahan berlangsung dengan lancar.

“Sekali lagi saya tidak ada niat nak sembunyikan pernikahan ini. Saya segan sebenarnya nak jemput media, siapalah saya,” katanya.

Bercerita lanjut, Zharif berkata dia kini bersedia untuk kembali aktif dalam bidang seni selepas mengambil rehat setahuh menjaga bapanya yang tidak sihat.

“Saya reda dan percaya pada rezeki, memang banyak tawaran saya terpaksa tolak.

“Saya tidak kisah untuk bermula semula dari bawah. Saya akan teruskan bakat yang saya ada ini,” katanya.

Dia juga mengaku bertuah, kerana isterinya sangat memahami dan menyokong hasratnya untuk aktif dalam bidang seni.

Buat masa ini Zharif berulang alik dari Johor ke ibu kota sekiranya ada tawaran.

Gayah doakan Zharif kembali sukses dan berusaha tanpa jemu. Gayah percaya rezeki orang berkahwin ini murah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts