KUALA LUMPUR: Program realiti pencarian bakat komedi popular ‘Raja Lawak’ yang kini bakal dikenali dengan jenama ‘Awesome Raja Lawak’ kini lebih hebat di Awesome TV.
Pengarah Unit Kandungan Awesome TV Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, selepas bertahan selama tujuh musim dan melabuhkan tirai terakhir pada tahun 2013, kini pertandingan popular ini dibawakan semula dengan evolusi baharu di platform lebih luas.
“Selain itu, fokus kami dalam menerbitkan program-program seumpama ini adalah untuk melahirkan pelawak berkualiti bagi mengisi ruang yang ada sekaligus boleh digilap untuk menjadi pelapis kepada pelawak-pelawak komersial tempatan sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, pihak produksi ‘Awesome Raja Lawak’ akan menjelajah ke empat buah negeri di seluruh Malaysia untuk mengadakan sesi uji bakat terbuka.
Seramai enam pelawak terkenal tanah air yang terdiri daripada Jalil Hamid, Azlee Senario, Ajak Shiro, Atu Zero, Ali Puteh dan Mamak Puteh turut dilantik sebagai juri manakala Chiwan dan Nizam Jentik-Jentik sebagai hos sesi uji bakat.
Lokasi dan tarikh sesi uji bakat ialah seperti berikut:
*4 & 5 Jun 2022
Berjaya Mega Mall, Kuantan, Pahang.
*11 & 12 Jun 2022
Prangin Mall, George Town, Pulau Pinang
*18 & 19 Jun 2022
Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, JDT
*25 & 26 Jun 2022
Lembah Klang (akan dimaklumkan kelak)
Kuala Lumpur/Selangor
Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan Singapura yang berumur 18 tahun ke atas secara solo, duo atau trio dan mestilah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi.
Kaunter pendaftaran bagi sesi uji bakat di setiap lokasi akan dibuka dari jam 8.00 pagi dan perlu membawa salinan kad pengenalan atau pasport untuk warga Singapura serta gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) atau ukuran pasport.
‘Awesome Raja Lawak’ bakal bersiaran di secara eksklusif di Awesome TV menerusi platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula Julai kelak.
Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007, platform ‘Raja Lawak’ terbukti berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri seni tanahair dan sudah melahirkan ramai pelawak versatil seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Zizan Razak, Sepahtu, Shiro, Zero serta ramai lagi. – GayahIsTyping