January 19, 2025

AWESOME TV SIAR DEBAT NAJIB-ANWAR MALAM INI

KUALA LUMPUR: Awesome TV dengan berbesar hati bakal membawakan siaran langsung program istimewa ‘Debat Perdana’ yang menampilkan dua figura berpengaruh dalam arena politik tanah air, Datuk Seri Sri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.

Siaran langsung itu akan bersiaran pada jam 9.00 malam menerusi platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112.

Program debat bersejarah di antara bekas Perdana Menteri dan Presiden PKR yang juga merupakan Ketua Pembangkang yang diadakan di Auditorium, Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) pada malam ini.

Kedua-dua mereka akan berkongsi gelanggang buat kali pertama dalam sesi debat awam untuk merungkai polemik yang melanda Sapura Energy Berhad
(SEB) serta mengupas pelbagai isu panas berkaitan hala tuju negara daripada aspek ekonomi, politik dan urus tadbir.

Cabaran sesi debat malam ini tercetus selepas Najib dan Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran menyelamatkan (bailout) Sapura Energy Berhad (SEB).

Ketua Pegawai Eksklusif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, Awesome TV teruja diberi peluang untuk menyiarkan debat perdana berkenaan yang dinantikan ramai pihak.

“Sebagai sebuah stesen penyiaran baharu, ia merupakan sebuah penghormatan kepada kami untuk menjadi sebahagian dari peristiwa bersejarah ini serta turut sama diberi ruang untuk meraikan
semangat politik negara yang dilihat lebih matang dan terbuka ini.

“Kami merasakan program debat secara terbuka yang julung kali diadakan seumpama ini mampu memberi
peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan pandangan dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya.

Awesome TV sebelum ini mendapat perhatian menerusi penyiaran Berita 757 yang disifatkan telus serta berani. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts