January 19, 2025

Biduanita Memukau Sukma, Judika Memikat Jiwa – Pukau Lebih 25 Ribu Penonton Dengan Paduan Vokal Gemersik

Kehebatan dan gemersik vokal dua penyanyi iaitu Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika terus meniti di bibir setiap lebih 25 ribu Penonton yang hadir pada Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza di Stadium Merdeka Sabtu lalu.

Kedua-dua penyanyi berkenaan mengalunkan penonton dengan seleksi lagu yang memukau dan meninggalkan kesan di hati menerusi kredibiliti vokal mereka.

Siti Nurhaliza ternyata terus mekar mengukuh kuat koordinat dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara denga meningkatkan lagi satu penanda aras resume nyanyiannya.

Pada usianya hari ini, Siti Nurhaliza memacu adrenalin penonton dengan aksi tarian senada dengan lontaran vokal memukau sukma dalam setiap lagu yang keluar dari mulutnya.

Judika juga tidak kurang hebat menyampaikan 12 lagu secara solo dengan begitu kemas dan bergaya memikat jiwa dengan lagu galau serta lirik nyanyian yang berkesan.

“Konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil sebelum ini boleh memuatkan seramai 12,000 penonton tetapi hari ini, dihadiri 24,000 penonton. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua.

“Kalau saya adakan konsert lagi tahun depan ada yang akan hadir lagi?” katanya.

Sementara itu, Judika pula gembira menjadi antara penyanyi dari Indonesia yang bertuah dapat beraksi di stadium bersejarah tersebut.

“Ini impian saya untuk beraksi di Stadium Merdeka dan syukur sudah menjadi kenyataan.

“Dapat satu pentas bersama Siti sekali lagi juga satu momen yang hebat,” ujarnya.

Siti dan Judika mempersembahkan lebih 30 lagu secara solo dan duet termasuk lagu-lagu medley.

Antara lagi yang dipersembahkan adalah Kesilapanku Keegoanmu, Hati Kama, Seindah Biasa, Hati Yang Tersakiti, Bukan Rayuan Gombal, Hal Hebat, Nirmala dan banyak lagi.

Selain persembahan memukau, Siti dan Judika turut membuat kejutan dengan menaiki kereta sport mengelilingi stadium sebelum memulakan konsert itu yang disambut dengan sorakan meriah daripada penonton di setiap pelusuk stadium.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Faizal Tahir yang menyampaikan tiga lagu popularnya. .

Majoriti penonton yang hadir dilihat mengikut tema putih dan denim itu turut diberikan LED wristband membuatkan suasana stadium lebih menarik daripada kerusi penonton.

Selain itu, langit Stadium Merdeka turut diserikan dengan pertunjukan bunga api berskala besar selama beberapa minit di samping pencahayaan dari Menara Merdeka 118.

Bukan itu sahaja, dua penonton bertuah telah membawa pulang sebuah kereta jenama BMW dan sebuah skuter pada konsert anjuran Universe Gateway itu. – GayahIsTyping

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts