March 29, 2024

KLKK: BUKAN SEMBARANGAN LATAH

Jika anda hanya impikan untuk bergelak tawa dalam naskhah Kampung Latah Kena Kuarantin (KLKK), anda silap. Hakikatnya filem yang pertama seumpamanya ini (adegan latah secara spontan) menyajikan pelbagai kisah dan mesej yang sangat berguna.

Menonton filem arahan Azizi Adnan ini, sajian dan rencah utamanya sudah terang lagi bersuluh iaitu aksi latah yang mencuit hati. Ini bukan aksi yang dibuat-buat, sebaliknya secara real oleh pelatah tegar yang bergelar selebriti seperti PS Mansur, Ieda Moin, Din Latah dan Nazia Mustafar. Bagi mereka yang kurang pasti, Azhan Rani selaku hero juga, seorang yang melatah.

Sebaik layar filem ini dibuka, penonton sudah digeletek. Jujurnya itulah juga yang Gayah harapkan. Menelusuri jalan cerita filem ini, pelbagai kisah tinggi nilai yang dipaparkan. Nampak seperti biasa, tetapi filem ini mempunyai kritikan sosialnya tersendiri. Kata orang dalam tertawa, mungkin ada yang akan termakan cili lalu terasa pedasnya.

Seperti biasa, sikap dengki dan busuk hati dalam kalangan masyarakat disentuh selain, salah guna kuasa dan juga janji-janji manis politikus yang memualkan diselitkan secara kemas dalam filem ini.

KLKK mengisahkan kisah penduduk sebuah kampung yang melatah dan dijadikan tarikan kepada kampung itu. Namun dek kerana hasad dengki, latahan yang ditukar menjadi produk tarikan pelancong bertukar menjadi bencana sehingga seluruh kampung menjadi huru hara.

Filem ini juga menyajikan sinematografi menarik dan latar suasana yang sesuai dengan premis jalan cerita.

Dari segi pemilihan pelakon juga, kesemuanya melunaskan tanggungjawab dengan baik bersesuaian dengan kredibiliti lakonan mereka yang sudah dikenali. Didie Alias, Azlee, Azhan, Joey Daud, Bell Ngasri ternyata berada dalam kelas mereka tersendiri dalam kategori lakonan komedi.

Manakala PS, Ieda, Din, Nazia memberkan warna paling penting dalam filem ini dengan aksi latah mereka yang dirakam secara langsung.

Pujian juga perlu diberikan kepada Elisya Sandha yang berjaya menonjolkan lakonan dan momentum wataknya dalam filem ini meskipun berdepan dengan nama-nama besar arena genre komedi.

Elisya menampilkan mutu lakonan yang sangat baik dan tidak keterlaluan serta berjaya mengekal tahap persembahan bersama teraju utama lain.

Filem ini lebih istimewa apabila menampilkan cameo seperti lagenda AR Badul, Datuk Awie, Mak Wan Latah, Riezman Khuzaimi, Roy Azman, Achong Sweet Child dan Ustaz Syamsul Debat yang sempat berkongsi tazkirah.

Jujurnya, KLKK wajar ditonton dan sangat sesuai dalam suasana pandemik hari ini bagi mendapat hiburan keluarga. Meskipun sudah boleh keluar ke sana sini mengikut SOP, Gayah rasa lebih baik langgan dan tonton filem ini di rumah. Kekal selamat dan kurang risiko.

KLKK boleh dilanggan menerusi saluran Astro First bermula 9 September.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts