KUALA LUMPUR: Tiada siapapun berhak menafikan hal jodoh yang menjadi rahsia Maha Pencipta. Lantaran, kalau sudah jodoh tertulis, pasti tidak akan ke mana.
Semuanya berjalan lancar semalam, pada detik penyatuan cinta pasangan artis Harris Alif dan Intan Ladyana yang selamat bernikah dengan sekali lafaz.
Harris mengakui, dirinya bersyukur saat disahkan sudah menjadi suami kepada Intan dan menyedari tanggungjawabnya terhadap wanita itu kini bermula.
“Alhamdulillah semuanya selamat dan saya bersyukur. Saya tahu ini saya mula menggalas tanggungjawab dan Insya-Allah kami akan bersama selamanya,” katanya kepada Gayah.
Intan di sisi turut tersenyum dan mengakui bagai tidak percaya kerana semuanya berjalan dengan pantas terutama saat diijabkabulkan.
“Sebaik selesai, saya seperti terdiam seketika kerana semuanya berlaku dengan cepat. Syukur dan gembira berjalan lancar,” katanya.
Pada majlis itu, Harris, 22, menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian buat bunga hatinya Intan, 38.
Manakala barangan hantaran iaitu sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki.
Jurang umur antara kedua-duanya juga bukan masalah kerana masing-masing mendapat restu dan sokongan keluarga.
“Saya bersyukur apabila keluarga kami restu sebaik dimaklumkan hubungan ini dan itulah bahagia yang kami cari,” katanya.
Intan berkongsi dari awal perkenalan, memang segalanya dipermudahkan buat mereka.
Paling penting, keluarga kedua belah pihak pun sangat positif dan merestui hubungan mereka.
Justeru, dia yakin mereka berada di landasan yang betul dan soal Harris masih terlalu muda menurutnya bukan isu besar.
Pada 5 Januari lalu, pasangan ini mengumumkan berita gembira bakal disatukan dan bernikah selepas mula menyulam cinta sejak Mac tahun lalu.
Mengikut perancangan awal, pasangan ini turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang.
Namun, akur dengan suasana PKP dalam pandemik Covid-19, mereka sepakat meneruskan acara wajib terlebih dahulu.
Gayah ucapkan tahniah. Jelas terpancar pada wajah Harris dan Intan raut bahagia. Terus raikan cinta kalian dunia akhirat.
You may also like
-
Single Inggeris Pertama Insomniacks ‘Awake & Dreaming’ – Manifestasi Evolusi Muzik & Kematangan
-
GenKRU Perluas Misi – Selepas Tiga Hari Di Malaysia, Sambung Ke Singapura, Mungkin Konsert Finale
-
Awie Ucap Selamat Pengantin Baru Buat Erra Fazira – Titip Pesan Jangan Tunggu Lama
-
Turunkan Rakaman Kandungan Konsert – Rumah Produksi Merah Ambil Serius Isu Curi Rakam Dan Jual
-
Siti Nurhaliza Ucap Terima Kasih Kepada Anggota Bomba Pahang – Yayasan Nurjiwa Hulur Sumbangan Tanda Penghargaan