KUALA LUMPUR: Bakat kelahiran program realiti, Ratu Balqis muncul dengan single debutnya berjudul Buaya, yang turut menampilkan gandingannya dengan penyanyi rap wanita, Mimifly.
Mengulas tentang pemilihan Mimifly sebagai rakan kolaborasinya, Balqis berkata, dia memilih untuk berkolaborasi dengan Mimifly sebagai tanda penghargaan kepada penyanyi itu yang dianggap guru.
“Sebelum ini saya banyak menerima tunjuk ajar daripada Mimi Ketika program Mentor Milenia 2017 berlangsung.
“Sebagai guru aksi panggung, Mimi banyak mengajar saya tentang ‘stage present’ dan cara untuk memberikan persembahan lebih efektif di pentas,” katanya kepada Gayah.
Buaya ialah ciptaan komposer Iqie Hugh dan Shaqiel Naufal. Manakala lirik merupakan hasil nukilan bersama Iqie Hugh, Shaqiel Naufal, Ratu Balqis dan Mimifly.
Lagu ini mengisahkan tentang kekuatan seorang wanita yang hidup dikelilingi lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kaum wanita.
Cuba mengetengahkan karakter wanita yang kuat, berdikari, berkerjaya dan berkarisma di dalam mengharungi perjalanan hidup selepas dicurangi dan ditinggalkan, tidak hairanlah apabila lagu ini menjadi istimewa apabila menggandingkan dua penyanyi cantik yang berstatus janda.
Mengulas tentang mesej yang ingin disampaikan melalui lagu ini, Balqis menjelaskan bahawa gelaran lelaki kasanova berasal dari kisah seorang lelaki yang bernama Casanova yang suka memikat perempuan dan mempunyai banyak kekasih.
Manakala gelaran lelaki buaya pula berasal daripada peribahasa Melayu iaitu buaya darat yang merujuk kepada lelaki yang suka berfoya-foya dengan perempuan. Namun ramai yang keliru dan merasakan lelaki kasanova dan lelaki buaya adalah karakter yang berbeza.
“Menerusi lagu Buaya, kami cuba membuktikan bahawa yang kasanova dan yang buaya itu adalah lelaki yang sama.
“Saya mengharapkan yang single Buaya ini mendapat sambutan dan dapat diterima ramai,” katanya.
Gayah seram dengan buaya!