April 20, 2024

Bangsa? Saya Anak Malaysialah! – Daniel Cheang

CYBERJAYA : Memilih lelaki ini sebagai naskhah sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 berlaku dengan spontan saat melihat personaliti dan perilaku dirinya.

Daniel Cheang, 28, mudah mesra dan ramah secara semula jadi setiap kali bertemu dengan sesiapa saja dalam lapangan industri hiburan juga media.

Tidak dibuat-buat, Daniel merendah diri dan mudah melempar senyum serta menegur sesiapa saja yang ditemui sementelah dia juga antara pengacara pelapis dalam arena hiburan.

Figura ini juga mewakili identiti Malaysia itu sendiri menerusi darah campur yang mengalir dalam tubuhnya iaitu Melayu, Cina dan Serani.

“Sebab itu kalau orang tanya bangsa, saya akan lekas-lekas jawab saya anak Malaysia.

“Saya bertuah kerana memahami banyak budaya melalui susur galur keluarga,” tuturnya membuka bicara.

Lulusan Sarjana Muda Komunikasi Masa ini juga antara wajah yang biasa mengisi tugasan pengacaran lapangan di stesen Astro khasnya.

Diajak berbicara mengenai kemerdekaan negara, Daniel berkata, rasa sayang dan cintakan negara bukan hal yang boleh dikompromi.

“Siapa pun kita, wajib sayang negara sepenuh hati dan hargai apa yang dikecapi tidak kira kita kanak-kanak, remaja, belia, dewasa mahupun warga emas.

“Paling mudah ialah dengan menghargai pengorbanan datuk nenek kita dalam mencapai kemerdekaan,” katanya.

Daniel, memilih untuk sentiasa tabik dan hormat kepada pasukan beruniform negara dalam menjaga keamanan, keselamatan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa.

Bekas pelajar Penang Free School itu juga, berkongsi gembira kerana berpeluang menyertai rancangan Real Men Malaysia yang memerlukan dirinya merasai rutin tugasan anggota Bomba dan Penyelamat di negara ini.

“Tidak mudah dan hanya mereka yang terpilih mampu lakukan tugasan seperti pasukan Bomba kita. Mereka sentiasa bersiap sedia.

“Bila saya lalui sendiri meskipun hanya satu peratus dari latihan sebenar mereka, ia banyak membuka mata betapa besarnya pengorbanan mereka semua.

“Bayangkan itu baru satu pasukan yang saya lalui. Belum lagi pasukan polis, tentera dan lain-lain,” katanya.

Sempena ulang tahun kemerdekaan tahun ini juga, Daniel sangat komited dalam menjayakan sesi fotografi dan penggambaran Merdeka yang dijalankan di DXN Cyberville di sini.

Dia tidak kekok berkaki ayam dalam persalinan klasik baju Melayu dan kain pelikat bagi menjayakan karakter anak muda yang mendaki tangga meraikan kemerdekaan Malaysia.

Daniel, antara pelapis anak seni yang mempunyai pakej dan kualiti tersendiri. – GayahIsTyping

Klik link untuk video Bingkisan Khas Merdeka 66 ▶️ https://youtu.be/cSlwnCrjK6I?feature=shared

Penyelaras: Syarrizuan Abdul Rashid 

Jurufoto: Shukri Effendi (IG @fendi_thegrey) 

Juruvideo: Awal Ridza (IG @awalridza)

Baju: Behati

Lokasi: DXN Cyberville, Cyberjaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts