April 25, 2025

Scha ‘Real’ dan ‘Legit’

KUALA LUMPUR: Artis versatil Scha Al Yahya mengakui selesa menjadi diri sendiri meskipun khalayak melihat dirinya sebagai ikon fesyen berjenama.

Beliau berkata, dirinya memang meminati dunia fesyen sejak dulu dan tetap meletakkan keselesaan sebagai ciri utama dalam berfesyen.

“Saya juga biasa saja dan selesa menjadi diri sendiri sama seperti orang lain.

“Kalau bercakap soal fesyen berjenama dan diri saya ia adalah gabungan antara kerja dan minat mengikut kemampuan,” katanya yang dikenali dengan sifat merendah diri.

Terbaru, pelakon Awan Dania ini menjalinkan kerjasama dengan jenama Christy Ng membabitkan koleksi tas tangan dan kasut.

Ditanya mengenai kerjasamanya dengan jenama tempatan itu, Scha berkata beliau yakin kerana ia mempunyai kualiti yang baik dan nikai komersial yang tinggi.

“Saya akui rezeki saya bersama beberapa jenama antarabangsa sebelum ini, tapi tak bermakna saya tidak menggunakan jenama tempatan.

“Bagi saya peluang bekerjasama dengan Christy Ng satu yang sangat bermakna dan turut berkongsi idea ciri-ciri rekaan yang ditampilkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Scha dan suaminya Awal Ashaari yang dikenali sebagai pasangan selebriti paling berpengaruh di Malaysia menjadi ikutan beberapa pasangan lain.

Malah pasangan itu juga menjadi pilihan untuk iklan serta komersial tempatan serta antarabangsa

Scha ketika diminta mengulas mengenai hal itu tertawa dan menganggap ia satu penghargaan buat mereka.

“Jujurnya kami tidak pernah meracangan untuk muncul sebagai pasangan atau pakej. Semuanya secara kebetulan.

“Saya mahupun Awal tidak pernah menetapkan sebarang pakej untuk kami muncul berdua, tapi saya tidak nafikan ada pelanggan yang mahukannya,” katanya.

Gayah akui Scha dan Awal memang pasangan selebriti paling legit dan real. Scha sendiri memang buah hati ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts