Bertemakan Langkah Ceria Kilometer Raya, Muadzam Lebarun 2024 anjuran Politeknik Muadzam Shah bersama Majlis Daerah Rompin dan Pejabat Belia dan Sukan Rompin pada 19 April lalu di Dataran Muadzam Shah, Pahang.
Larian itu bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup aktif, semangat sukan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
Apa yang menarik dan harus di puji, acara ini telah dianjurkan oleh para pelajar semester 4, Diploma Pelancongan Rekreasi, Jabatan Pelancongan, Politeknik Muadzam Shah. Program ini adalah sebahagian daripada projek kursus Recreational Planning & Programming.
Dalam masa yang sama, program ini menunjukkan dedikasi dan komitmen tinggi pelajar dalam merancang dan melaksanakan acara yang tidak hanya menggalakkan kesihatan, tetapi juga memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.

Program ini berjaya menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, pensyarah, dan komuniti setempat dari sekitar Rompin.
Program Muadzam Lebarun 2025 bukan sekadar acara larian santai, tetapi juga bertujuan untuk merayakan semangat Syawal dan mengeratkan hubungan antara komuniti. Dengan pelbagai aktiviti sihat dan interaktif, program ini memberi peluang kepada warga Muadzam Shah untuk berkumpul dan meraikan kegembiraan hari raya bersama.
Peserta berlari dengan berbaju melayu dan kurung raya lengkap, menambah suasana ceria dan meriah pada acara tersebut. Di setiap check point, peserta dijamukan dengan makanan raya seperti ketupat palas, nasi impit, dan pelbagai kuih raya, menjadikan pengalaman larian ini lebih istimewa dan menyeronokkan.

Antara acara sampingan yang paling menyeronokkan untuk mempromosikan kebudayaan pertandingan permainan tradisional bagi semua peserta seperti ceper, congkak, baling tin, capteh, tengteng, batu seremban, dam haji dan banyak lagi.
Dam Aji antara pertandingan permainan tradisional yang sangat menggamit memori
Melalui pertandingan ini, para peserta dapat menghargai dan memahami warisan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi.
Selain itu, aktiviti ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda, memastikan bahawa nilai-nilai dan tradisi budaya kita terus hidup dan relevan dalam masyarakat moden.
Bukan itu sahaja, Politeknik Muadzam Shah juga terlibat dalam pameran pendidikan interaktif, pemeriksaan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Rompin, pameran Angkatan Pertahanan Awam Rompin dan juga gerai jualan.
Ini sekaligus memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan info terkini dan menyokong usahawan tempatan.
Majlis ini dirasmikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Muadzam Shah, Datuk IR Razali Kassim (DIMP).
Razali yang turut menyampaikan ucapan penghargaan mengakui amat mengagumi semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para peserta yang mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat kita.
Beliau berharap acara ini akan terus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara penduduk dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. – GayahIsTyping

