November 26, 2022

JELAJAH SURIA TARIK 3,000 PENGUNJUNG DI KUANTAN

 100,000 TONTON DI PLATFORM DIGITAL

KUALA LUMPUR: Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell mendapat sambutan memberangsangkan dengan kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri lokasi sulung di Kuantan, Pahang minggu lalu.

Lebih menarik, golongan muda antara yang turut memberikan sokongan pada jelajah berkenaan yang menampilkan persembahan artis gabungan penyanyi lama dan mereka yang aktif sekitar tahun 90-an.

Seiring dengan jelajah berkenaan, seorang individu berusia 25 tahun mencuri tumpuan hadirin malah tular di media sosial apabila berjaya membawakan lagu popular 90-an nyanyian asal Ziana Zain berjudul Setiaku Di Sini.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, perkembangan itu sangat menarik dan memberikan satu semangat serta motivasi buat stesen radio berkenaan yang memutarkan lagu irama 90-an dan terkini.

“Saya mendapatkan pelbagai reaksi mengenai jelajah yang diadakan, malah saya turut saksikan sendiri kerana berada di lokasi bagaimana sokongan yang diberikan oleh pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

“Platform digital Suria FM juga mendapat sambutan baik dengan jumlah tontonan hampir mencecah 100,000 penonton.

“Mengenai adik yang tular itu juga saya saksikan sendiri persembahannya. Memang memberikan satu kelainan buat kami pada jelajah yang dianjurkan,” katanya.

Pada jelajah berkenaan, wanita yang dikenali sebagai Ayish Malkan tular di TikTok selepas penyampai Suria FM Rara dan Tyzo menembualnya sebelum dia menyampaikan lagu nyanyi Ziana itu.

Ayish yang lahir pada 1997 mengakui minat dengan lagu 90-an dan mampu menyampaikan lagu berkenaan dengan baik serta mendapat tepukan gemuruh penonton.

Klip nyanyiannya di aplikasi berkenaan mendapat hampir 30,000 tontonan dan tular.

DJ Lin berkata, perkembangan itu menjadi justifikasi irama 90-an diterima baik oleh semua lapisan pendengar dan selari dengan konsep yang diperjuangkan Suria FM.

“Saya gembira kerana ia memberikan perkembangan baik pada satu tahap yang lain dan membuktikan kami di Suria FM berjaya menghimpunkan pelbagai khalayak pendengar,” katanya.

Bercerita lanjut, dia memberitahu Suria FM turut merangka satu kejutan buat Ayish dalam siri jelajah yang akan datang.

Jelajah seterusnya akan singgah di Aman Sentral, Alor Setar di Kedah pada 13 Ogos ini.

Suria FM membawakan persembahan artis popular 90-an dan terkini pada empat siri jelajahnya termasuk menawarkan hadiah menarik antaranya sebuah motosikal kepada pengunjung.

Selepas Kuantan dan Alor Setar, jelalajah sama bakal diadakan di Johor Bahru dan Putrajaya sepanjang Sabtu, Ogos ini. – Gayahistyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts