CYBERJAYA : Hari Umrah Malaysia (HUM) yang diadakan buat julung kalinya menarik perhatian ramai dengan inisiatif untuk mendidik bakal jemaah dari terpedaya dengan helah scammers.
HUM yang berlangsung pada pada 17 hingga 19 November lalu, di perkarangan Malakat Mall, dianjurkan Fakulti Pengajian Antarabangsa di bawah YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Innovatif, Suara Belia, Malakat Mall dan Brainy Bunch.
Antara agensi yang terlibat adalah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dan Al-Haramain Travel & Tours Sdn Bhd dan banyak lagi. Menariknya mengenai intipati HUM, agensi yang terlibat menawarkan pakej umrah dengan harga ‘rahmah’ dan istimewa kepada pelanggan.
Lebih telus, semua agensi yang terlibat menjanjikan ‘sifar scammer’, berdaftar dan mempunyai kredibiliti dalam industri pelancongan islamik.
Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Roslan Mohammad memuji HUM yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Haji dan Umrah itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak RM9 juta nilai kerugian membabitkan penipuan umrah dilaporkan sehingga November tahun ini.
“Orang ramai perlu pastikan syarikat yang menawarkan pakej umrah mempunyai pejabat fizikal dan menggunakan akaun bank yang sama dengan nama pakej serta syarikat terbabit.
“Tidak ada syarikat berlesen yang tidak ada pejabat atau beroperasi melalui Facebook sahaja. Bayaran juga perlu melalui bank dan resit cetakan sah,” katanya.
Bagi memupuk kesedaran kepada orang ramai, program ini turut membincangkan tentang isu- isu penipuan pakej haji dan umrah yang kerap berlaku sepanjang tahun menerusi forum bersama Pengurus Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan wakil pegawai penyiasat (Investigation Officer) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Difahamkan, program yang berlangsung selama tiga hari itu telah dihadiri seramai 10,000 pengunjung.
Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang HUM seperti ceramah perdana daripada PU Riz, forum perdana bersama Al-Habib Syeikh Dr. Omar dan pertandingan Pencetus Umah Muda.
Bukan itu sahaja, program ini juga membuka ruang kepada pelajar Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di bawah Fakulti Pengajian Antarabangsa YEG Academy mendapat pengalaman bekerjasama dengan agensi pelancongan dengan membuat promosi pakej umrah kepada pengunjung.
Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung dan juga agensi pelancongan, Hari Umrah Malaysia akan dijadikan sebagai acara tahunan. – GayahIsTyping