KUALA LUMPUR : Hal hebat yang membuatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza puas dalam perniagaannya ialah apabila mampu membuka peluang pendapatan kepada orang lain.
Kongsi penyanyi nombor satu negara dan juga tauke BeauSiti itu, antara yang membuat dirinya tersenyum apabila ada usahawan produk itu mampu mencapai jualan mencecah enam angka.
“Alhamdulillah kerana mereka komited dan percaya dengan produk ini sehingga berjaya mencapai jualan sehingga lebih RM200,000.
“Antara usahawan berkenaan ialah Cikgu Jijah dan seorang lelaki yang bekerja sebagai pegawai bank,” katanya kepada GayahIsTyping.
Siti berkata demikian pada majlis pelancaran BeauSiti Baharu yang diadakan di Hotel Royale Chulan di sini, sebagai usaha syarikat BeauSiti Sdn Bhd untuk memperkenalkan serta mengukuhkan lagi jenama produk berkenaan.
Selepas tiga tahun beroperasi, BeauSiti juga melancarkan formulasi baru `Beauessence Plus ‘ iaitu produk hero BeauSiti yang telah diperkenalkan sejak tahun 2019 dipertingkat dengan gabungan Ceramide, Vitamin C & L-Cysteine merupakan bahan baharu yang terbukti keberkesanannya secara saintifik.
Pada majlis pelancaran sama, Siti turut memperkenalkan wajah baharu iaitu pelakon dan model, Rita Nadira.
Pelantun lagu Sehebat Matahari itu berkata, BeauSiti turut menjalankan kempen BeauSiti Revolusi Dirimu akan membawakan pelbagai program & aktiviti yang menarik termasuk drama pendek bersiri enam episod berjudul Sampai Bila.
Selain Rita, drama itu juga menampilkan Siti sebagai pelakon dan akan ditayangkan bermula 20 November ini, jam 1 tengah hari di akaun Instagram BeauSitiOfficial dan CTDK.
Diusik mengenai lakonannya, Siti memberitahu beliau membawakan wataknya sendiri iaitu seorang ahli perniagaan.
“Saya muncul sekejap saja, kalau nak tahu macam mana lakonan saya kena tonton nanti.
“Bolehlah berlakon suka-suka, syukur ok walaupun beberapa take juga, tapi tidaklah sampai 10 take,” kongsinya tertawa. – GayahIsTyping