December 8, 2024

PENGLIBATAN SELEBRITI BANTU KEMPEN KESEDARAN E-WASTE

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melahirkan rasa gembira dengan penglibatan golongan selebriti dalam membantu kempen kesedaran e-waste iaitu kepentingan pengumpulan buangan peralatan elektrik dan elektronik dalam kalangan penduduk di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr Norhazni Mat Sari berkata, penglibatan golongan berkenaan sejak setahun lalu secara langsung membantu menyampaikan maklumat berkaitan e-waste kepada khalayak menerusi platform media sosial jabatan dan juga selebriti terbabit.

“Kita gembira dan melihat satu perkembangan baik dengan penglibatan para selebriti dalam membantu kempen ini kepada masyarakat awam.

“Sebenarnya sejak tahun lalu kita sudah mula membabitkan golongan selebriti dalam kempen kita. Alhamdulillah ia memberikan satu kesan yang baik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Jom E-Waste baru-baru ini sempena Hari E-Waste Antarabangsa yang disambut pada 14 Oktober setiap tahun.

Beliau berkata Fahrin Ahmad dan Bell Ngasri sebagai contoh, memberikan komitmen yang baik sejak terbabit secara langsung pada tahun lalu dalam beberapa siri kempen dan program mengenai e-waste.

Katanya, pihaknya membuka peluang kepada semua selebriti yang berminat tanpa menetapkan sebarang kriteria asalkan sudi membantu menyebarkan kesedaran mengenai usaha kempen e-waste kepada rakyat Malaysia.

Tambahnya, meskipun kesedaran masih di tahap rendah sejak kempen ini bermula pada 2014, namun saban tahun sentiasa memperlihatkan kadar peningkatan terhadap pengumpulan e-waste iaitu sekitar 100 tan metrik pada peringkat awal meningkat kepada 2,650 tan metrik pada 2021.

“Bagi tahun ini, sehingga September sebanyak 2,141 tan metrik e-waste berjaya dikumpulkan di seluruh negara. Jumah itu ialah dari 200 pusat pengumpulan yang diperkenalkan di serata negeri,” katanya.

Tetamu Kehormat pada Karnival Jom E-Waste

Sementara itu, Fahrin ketika ditemui mengakui tidak begitu ambil peduli mengenai e-waste sebelum terbabit sendiri dengan kempen berkenaan malah menganggap ia sebagai bahan buangan biasa.

“Sebenarnya banyak yang saya pelajari mengenai e-waste ini. Barangan elektronik dan elektrik kita seperti telefon bimbit serta televisyen yang rosak tidak boleh dibuang sesuka hati kerana ia memberikan kesan yang tidak baik kepada alam sekitar.

“Malah saya juga dapat banyak DM daripada rakan selebriti dan peminat yang bertanya mengenai perkara ini selepas terbabit dengan kempen e-waste.

“Bagi saya setiap daripada kita boleh memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kempen ini berjaya demi kebaikan bersama seperti di Jepun misalnya yang berjaya menghasilkan pingat Olimpik dari bahan buangan produk e-waste,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts