January 17, 2025

KONSERT KUTIP DANA UNTUK ENAM NGO DAN TABUNG AMAL

KUALA LUMPUR: Konsert amal Rhythm Of Legends anjuran CS Excellent dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Drug Free Malaysia bakal diadakan pada 29 dan 30 Oktober depan bertujuan mengutip dana untuk enam NG0 dan tabung amal.

Konser yang diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu membariskan penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Hattan, Zamani, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol.

Pengarah Urusan CS Excellent, Marinatasha Mustapar berkata, tujuan dan matlamat utama konsert Rhythm of Legends diadakan adalah untuk mengutip dana bagi disalurkan kepada enam NGO, tabung amal, banjir, golongan asnaf dan artis veteran.

“Konsert ini adalah persembahan amal yang mana kita nak mengutip dana. Penganjuran acara ini kami berkolaborasi dengan NGO Drug Free Malaysia. Kami menyasarkan 50 peratus hasil kutipan konsert disalurkan kepada enam badan NGO, tabung amal, tabung banjir dan asnaf.

“Tidak dilupakan juga, golongan artis veteran yang terkesan sama. Kita tahu, mereka ini juga antara yang turut melalui fasa kesukaran sama. Jadi, kita tidak mahu melupakan mereka. Jadi, dengan adanya persembahan amal ini sedikit sebanyak dapat membantu dan berkongsi rezeki dengan banyak pihak. Pendek kata, sumbangan yang bakal disalurkan adalah menyeluruh,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Marinatasha yang juga pengarah program bagi konsert itu mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kesudian mereka menerima tawaran bagi menjayakan persembahan amal itu,

“Sebelum ini ada ramai artis lain juga yang kami jemput untuk terbabit sama, tapi hanya yang tersenarai ini saja yang berkelapangan untuk persembahan dua hari itu. Mereka juga berminat untuk sama-sama terbabit bagi membantu dan beramal.

“Dari segi persembahan, pihak penganjur telah menetapkan konsep dimana persembahan akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (Istana Budaya) di bawah pimpinan Yazid Zakaria,” katanya.

Jadi, selain daripada lagu-lagu popular daripada koleksi album artis itu sendiri, mereka turut akan menyampaikan lagu-lagu popular artis terkemuka yang lain dengan gabungan elemen alat muzik moden dan tradisional yang menjadi kepakaran OTM yang pastinya akan memberi suatu kelainan dan kepuasan kepada penonton,” katanya.

Tiket Konsert Rhythm Of Legends boleh dibeli secara online di https://www.myticket.asia/. – Gayahistyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts