November 27, 2022

3 Naga Gangster Di Awesome TV

KUALA LUMPUR: Awesome TV buat julung kalinya mempertaruhkan sebuah naskhah adaptasi terbaharu berjudul ‘Epilog 3 Naga’ khas untuk peminat drama Melayu tempatan yang bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam mulai 3 Ogos 2022 menerusi slot Dramatix secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112).

Drama bersiri ‘Epilog 3 Naga’ karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Kaz Ishak yang mengangkat genre aksi tentang dunia gengsterism terbitan syarikat produksi Layar Sutra Sdn. Bhd.

Drama 24 episod arahan sutradara Razif Ajiboy ini menampilkan pelakon dan usahawan terkenal, Betty Banafe selaku penerbit serta turut mengekalkan Kaz Ishak selaku penulis skrip dan pengarah seni.

Plot perjalanan penuh konflik drama ‘Epilog 3 Naga’ mengisahkan tentang kisah tiga sahabat karib yang hanyut dalam memilih jalan hidup sehingga terjerumus dengan kancah jenayah kongsi gelap. Meskipun sarat dengan aksi lasak, kisah ini turut menggabungkan elemen drama cinta, persahabatan dan pengorbanan untuk memberikan naratif penceritaan yang lebih menghiburkan.

Drama menarik ini diterajui oleh Hazama Azmi yang memegang watak sebagai Khalid, Syarul Ezani sebagai Fazarul, Shafiq ‘Stu’ Rosli sebagai Sean Abdullah, Che Puan Juliana Evans sebagai Natasha, Atyka Jalil sebagai Sazlina, Katalina sebagai Sofea Ahmad, Faizal Hussien sebagai Azroy, Ridzuan Hashim sebagai Uncle Hussien, Marissa Yasmin sebagai Makcik Asmah, Sahronizam Noor sebagai Pakcik Zulkarnain, Along Eyzendy sebagai Black dan Aman Nassim sebagai Chris serta ramai lagi.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata,
stesen itu mengambil langkah berani untuk menyelami dunia gelap gengsterism sebagai nadi penting dalam drama ‘Epilog 3 Naga’.

“Drama ‘Epilog 3 Naga’ merupakan sebuah naskhah yang sebenarnya sarat dengan elemen emosi. Namun, ia bukanlah tertumpu kepada elemen pergolakan semata-mata, tetapi turut mengandungi mesej dan nilai positif sebagai pengajaran bersama.

“Saya percaya penceritaan kisah kali ini pastinya bakal membawa kelainan yang menyeronokkan kerana kekuatan jalan ceritanya yang luar biasa dan menghiburkan,” katanya.

Dalam pada itu, Razif Ajiboy selaku Sutradara berkata drama itu adalah satu naskhah yang menyingkap kehidupan segelintir remaja daripada sisi gelap. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts