September 23, 2023

Mak, Berehatlah! – Khabar Duka DJ Lin

KUALA LUMPUR: “Saya tak kuat rasanya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan.”

Demikian luahan ringkas DJ Lin kala menjawab salam takziah Gayah lewat kiriman WhatsApp atas kematian ibu tersayang.

Dia memaklumkan berita duka itu menerusi akaun media sosial bahawa ibu kesayangannya, Puteh Jantan, 80, meninggal dunia.

Arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit buah pinggang di kediamannya di Johor Bahru, Johor pada jam 4.50 pagi ini.

“Salam Jumaat semua, dengan lafaz Bismillah, saya ingin memaklumkan bahawa ibunda tercinta, Hajah Puteh Jantan baru sahaja meninggal dunia jam 4.50 pagi ni (Jumaat, 24 Jun 2022) di rumah kami di Jalan Merpati, Larkin Jaya.

“Jenazah akan dikebumikan sebelum waktu solat Jumaat. Mohon sedekahkan al-Fatihah buat arwah agar rohnya tenang di alam sana dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Ameen Ya Rabbal Alamin,” katanya.

Pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid yang juga Pengurus Besar Suria FM turut berkongsi luahan rasa sedihnya pada hantaran sosial media berkenaan.

“Mak, terima kasih atas segala kasih sayang, pengorbanan serta jasa yang mak taburkan buat Lin dan semua anak-anak.

“Berehatlah mak… Puas mak menanggung kesakitan. Kami semua dah berusaha yang terbaik untuk membantu menyembuhkan sakit mak namun Allah lebih menyayagimu mak.

“Mak akan sentiasa ada dihati kami dan kenangan kita bersama takkan pernah sekali pun orang lupakan ya mak. Al-Fatihah,” luahnya.

Terdahulu, Puteh dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat penyakit buah pinggang, minggu lalu dan arwah meninggalkan sembilan anak, lebih 40 cucu serta cicit. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts