December 1, 2022

Konsert Hattan 35 Years Journey : Tabik Tok!

KUALA LUMPUR: Ternyata memilih untuk berada dalam perut Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pilihan tepat menadah telinga pada sebuah persembahan hebat seorang anak seni bernama Mohd Shukri Shahabudin.

Lebih dikenali dengan nama Datuk Hattan, beliau punya wibawa tersendiri bergelar anak seni dalam menelusuri 35 tahun di koordinat industri seni tempatan.

Hattan tidak cakap kosong pada siri sembang-sembangnya mengenai industri sama ada di kerusi juri mahupun media sosialnya kerana beliau berjaya menterjemahkan konsert yang dipandunya secara solo dengan kemas pada kelas tersendiri.

“Saya tunggu selama 35 tahun untuk konsert solo ini. Alhamdulillah malam ini saya berdiri di atas pentas ini.

“Terima kasih kepada semua yang selalu ada, member, saudara, keluarga dan peminat,” katanya membuka kata sebelum menyampaikan lebih 20 lagu pada malam konsertnya itu.

Membuka pentas dengan Biso Bonar, anak kelahiran Negeri Sembilan terus kemas melontarkan satu demi satu lagu nyanyiannya sambil mengimbau sejarah bergelar anak seni.

Hattan seorang figura yang tahu apa yang diimpikan dan tekad menyusun langkah untuk menggapainya.

Pastinya, berkat restu ibu juga antara faktor seorang Hattan itu terus kekal dalam radar seni sehingga ke hari ini.

“Saya masih ingat saya bukan anak orang senang. Ibu saya sanggup beri saya RM20 untuk hajat saya ke kota dan bergelar penyanyi.

“Jumlah duit itu banyak dan saya tahu mungkin untuk beli lauk dan beras keluarga. Tapi Mak kan dia tahu anak dia,” cerita pelantun lagu malar segar Rendang Tak Berbuah ini.

Banyak juga lagu menarik dengan nyawa soul dan blues termasuk Kelentong Dol Hancing disampaikan.

Beliau juga berkongsi ‘fun fair’ ialah YouTube bagi generasi sebelum ini berkongsi bakat mereka.

Turut beraksi dengan anak bujangnya Adam

“Dulu fun fair macam YouTube dan bila ingat show di fun fair macam-macam hal berlaku termasuk kena tipu.

“So bila kami marah kami luahkan pada lagu. Tulah lahirnya lagu kena kencing tu,” katanya.

Hattan turut berkongsi beberapa kisah menarik termasuk lagu popular  berjudul Tiara yang asalnya mahu dirakamkan olehnya namun dipulangkan kembali kepada kumpulan berkenaan.

Alunan suaranya menyampaikan lagu itu juga serasi pada telinga penulis dan tidak keterlaluan andai dikatakan lagu berkenaan juga akan popular sekiranya dihiasi vokal Hattan.

Lelaki berusia 57 tahun ini gah dalam usianya tanpa lekang mengucapkan terima kasih kepada insan-insan yang banyak menjadi faktor kejayaannya sebagai penyanyi termasuk mereka yang telah dijemput Allah.

Nama Datuk M. Nasir dan arwah Loloq antara yang berkali-kali di sebut serta peminat yang menjadi tulang belakangnya.

“Tak payah sembanglah, tanpa mereka semua ini siapalah kita,” katanya.

Pujian sekali lagi juga harus diberikan buat pasukan konsert ini yang dibawakan oleh Mewah Events dalam semua sudut termasuk pilihan lagu serta sistem bunyi konsert itu.

Penampilan Hattan juga sesuai serta kenal dengan kredibiliti serta konsertnya.

Keseluruhannya, Konsert Hattan 35 Years Journey satu naskhah indah bagi insan yang memilih untuk berjuang bergelar anak seni.

Hattan, Tabik Tok! – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts